suria

Teka-Teki DAP, Pakatan Diketahui Selasa

Anthony Loke
KUALA LUMPUR: Selepas bermesyuarat hampir empat jam, kepimpinan DAP mengambil keputusan  untuk 'mengunci mulut' berhubung pendirian parti itu bersama pakatan pembangkang.

Memilih untuk hanya mendedahkan hasil mesyuarat yang berlangsung pada Isnin malam menerusi kenyataan media, pimpinan parti sekutu PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dilihat masih berteka-teki mengenai percaturan politik mereka.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, pengumuman keputusan mesyuarat itu akan akan 'menghampakan Barisan Nasional (BN).

"Tunggu esok, kita akan umumkan menerusi kenyataan media pada awal pagi.

"Keputusan yang dicapai akan menguntungkan semua pihak. Hanya BN akan hampa dengan keputusan ini," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat DAP di sini, Isnin malam.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban bagaimanapun enggan mengiyakan sama ada DAP akan terus berada dalam pakatan pembangkang.

Walaupun diasak dengan soalan kemungkinan DAP memilih untuk meninggalkan Pakatan Rakyat, Loke terus mengulangi jawapannya bahawa "ia akan menguntungkan semua rakyat".

Sementara itu Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua mengakui kepimpinan DAP berhadapan kesukaran dalam membuat keputusan.

"Kita fikirkan apa akan jadi kalau keluar pakatan, kalau kita pilih untuk terus berada (dalam pakatan), apa kesannya kepada pakatan serta DAP.

"Banyak perkara dari pelbagai sudut kita fikirkan. Kita bincangkan pelbagai kemungkinan," katanya.

Ahli Jawatankuasa Kerja DAP mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai masa depan mereka dalam Pakatan Rakyat susulan tindakan PAS membentang dan meluluskan enakmen undang-undang berkaitan hudud di Kelantan.

Isu hudud menjadi punca keretakan hubungan tiga komponen pembangkang apabila DAP dan PKR membantah tindakan PAS dalam menegakkan undang-undang Islam itu.

DAP, Kunci mulut

Artikel Lain