suria

Kuan Yew Abdikan Seluruh Jiwa Untuk Kejayaan Singapura - Hsien Loong

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkataLee Kuan Yew mengabdikan seluruh jiwa raganya untuk kejayaan Singapura, dan beliau menyeru rakyat negara ini supaya meneruskan legasi yang ditinggalkan mendiang bapanya untuk menjadikan Singapura sebagai negara luar biasa serta lebih berjaya pada masa akan datang.

Dalam ucapan kepada seluruh rakyat Singapura pada Isnin berikutan kematian bekas perdana menteri pertama itu, Hsien Loong berkata Singapura adalah sesuatu yang amat dicintai Kuan Yew. 

"Beliau mempertaruhkan seluruh dirinya untuk Singapura. Seperti yang beliau ucapkan menjelang hari-hari terakhirnya dan saya petik kata-katanya itu 'Saya menghabiskan usia saya, sebahagian besar daripadanya, untuk membina negara ini.

"Tiada apa lagi yang perlu saya lakukan. Akhirnya, apa yang saya dapat? Sebuah Singapura yang berjaya. Apa yang telah saya beri? Hidup saya'".

Hsien Loong berkata kini, bapa pengasas Singapura sudah tiada.

"Beliau memberi inspirasi kepada kita, memberi kita semangat, menyatukan kita dan membawa kita hingga ke sini. Beliau berjuang untuk kemerdekaan kita, membina sebuah negara yang pada asalanya, tiada, dan membuat kita berasa bangga menjadi rakyat Singapura.

"Kita tidak akan menemui orang seperti beliau lagi," kata perdana menteri itu.

Hsien Loong berkata bagi kebanyakan rakyat Singapura dan ramai yang lain, 'Lee Kuan Yew adalah Singapura'.   

Sebagai perdana menteri, katanya, Kuan Yew 'mengasak kita' supaya mencapai apa yang kelihatan mustahil.

"Selepas berundur, beliau membimbing peggantinya dengan kepintaran dan kebijaksanaan. Ketika usia tuanya, beliau terus memerhati dan mengawasi perjalanan Singapura.

"Dalam kita bersedih dengan pemergiannya, marilah kita sama-sama menghayati semangat beliau. Marilah kita sama-sama jadikan diri kita sebagai satu bangsa untuk terus maju atas landasan yang telah beliau bina, berusaha mencapai cita-cita murninya dan memastikan Singapura terus melakar pencapaian luar biasa dan berjaya pada tahun-tahun seterusnya.

"Semoga Encik Lee Kuan Yew bersemadi dengan tenang."   

Kuan Yew, 91, meninggal dunia pada 3.18 pagi Isnin di Hospital Besar Singapura setelah dimasukkan ke hospital itu pada 5 Februari lepas kerana mengalami radang paru-paru teruk. -BERNAMA

Lee Kuan Yew

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain