suria

Singapura Berkabung Atas Kematian Lee Kuan Yew

KUALA LUMPUR: Bendera Singapura dikibarkan separuhtiang ketika republik itu berkabung atas kematian perdana menteri pengasas negara itu, Lee Kuan Yew. 

Kerajaan mengumumkan bahawa negarawan itu meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada pukul 3.18 pagi Isnin ketika berusia 91 tahun selepas dimasukkan ke hospital itu akibat radang paru-paru pada 5 Februari lepas.

Suasana sedih menyelubungi republik itu ketika berita kematiannya disiar menerusi televisyen dan ucapan takziah tidak putus-putus diterima sebagai penghormatan kepada tokoh yang berjaya mentransformasikan negara itu sebagai Singapura moden hingga dapat menandingi negara terbaik di Barat.

Dilahirkan pada 16 September, 1923, di Singapura, Kuan Yew meninggalkan legasi negara moden dan kuasa ekononmi selepas kebangkitannnya daripada hanya sebuah pulau kecil pada sejarah awalnya.

Kuan Yew, yang mengetuai Parti Tindakan Rakyat (PAP) memegang teraju kerajaan selama lebih tiga dekad, menjadikan beliau antara perdana menteri yang paling lama berkhidmat di dunia.

Beliau menyaksikan pemisahan Singapura dari Malaysia pada 1965, yang dianggap sebagai cabaran paling besar bagi Kuan Yew dalam kerjaya politiknya secara keseluruhan.

Kuan Yew, yang meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 1990, dilantik sebagai Menteri Kanan oleh perdana menteri kedua, Goh Chok Tong sebelum menyandang jawatan sebagai Menteri Mentor dalam kerajaan yang diterajui oleh anaknya dan perdana menteri sekarang, Lee Hsien Loong. 

Beliau mengumumkan persaraannya daripad jawatan Kabinet pada 14 Mei, 2011, selepas pilihan raya umum 2011 tetapi kekal sebagai Anggota Parlimen bagi Tanjung Pagar.

Kuan Yew dianggap sebagai pemimpin paling terkemuka dan berpengaruh bukansahaja di Asia tetapi juga di dunia dan pemergiannya disambut dengan ucapan takziah daripada para pemimpin dunia yang melahirkan kekaguman atas kebijaksaannya menerajui republik itu sehingga menempa kejayaan seperti sekarang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya legasi Kuan Yew dalam merubah negara pulau itu menjadi sebuah negara yang maju, moden dan dinamik akan kekal dalam lipatan sejarahnya.  

Beliau berkata dunia telah kehilangan seorang tokoh yang mempunyai keupayaan untuk menyumbang idea-idea yang konkrit dalam pelbagai bidang.

Sambil melahirkan kesedihan atas pemergian 'pemimpin berwawasan' dan seorang penjawat awam yang berdedikasi', Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkata, Kuan Yew telah membangunkan satu daripada negara yang paling berjaya di dunia hari ini.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata Kuan Yew adalah seorang daripada pemimpin besar yang muncul di Asia, yang memacu pertumbuhan ekonomi Singapura serta keamanan dan kestabilan sehingga di luar republik itu.

Sementara itu, Hsien Loong mengisytiharkan tempoh berkabung negara mulai hari ini (23 Mac) hingga 29 Mac (Ahad) dengan bendera Singapura di semua bangunan kerajaan akan dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh berkabung.

Jenazah mendiang akan ditempatkan di Bangunan Parlimen mulai Rabu hingga Sabtu ini untuk membolehkan orang ramai memberi penghormatan.

Upacara Pengebumian Negara akan diadakan pada jam 2 petang, Ahad ini, diPusat Kebudayaan Universiti, Universiti Nasional Singapura diikuti upacara kremasi secara tertutup di Mandai Crematorium.

Dalam pada itu, Parlimen Singapura akan mengadakan sidang khas pukul 4 petang pada Khamis ini sebagai penghormatan kepada Kuan Yew dengan kehadiran hanya bagi tetamu yang diundang.  -BERNAMA

Lee Kuan Yew

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain