suria

Demonstrasi Tidak Hentikan GST - Ahmad Maslan

Datuk Ahmad Maslan
PUTRAJAYA: Demonstrasi tidak akan melambatkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dijadualkan pada 1 April, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata kerajaan tidak akan tunduk kepada tekanan daripada sesiapa untuk menangguhkan pengenalan skim cukai baharu itu.

"Demonstrasi tidak akan menghentikan (pelaksanaan) GST. Menjelang 1 April, GST akan menggantikan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan), " katanya pada Isnin, selepas merasmikan Kaunter Verifikasi untuk pelancong asing menuntut bayaran balik  GST di sini, Isnin.

Demonstrasi anti-GST terkini berlangsung di ibu pejabat Kastam Persekutuan di Kelana Jaya pada Isnin di mana penunjuk perasaan, yang diketuai oleh aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM), memasuki kompleks pejabat pada pukul 11 ​​pagi dengan harapan untuk menyerahkan memorandum kepada Ketua Pengarah Kastam.

Ahmad berkata, kerajaan tidak membuat kesilapan dalam memutuskan untuk memperkenalkan GST.

"Daripada 193 buah negara di dunia, 169 negara telah pun melaksanakan GST.  Adalah mustahil bahawa mereka telah membuat kesilapan. Negara-negara Asean yang lain kecuali Brunei dan Myanmar juga telah pun melaksanakan GST.

"Bantahan seperti di Kelana Jaya adalah seperti yang dijangka tetapi mereka tidak akan dapat menghentikan atau melambatkan pelaksanaan," katanya.

Mengenai Skim Bayar Balik Pelancong, Ahmad berkata pelancong asing boleh membuat tuntutan bayaran balik di tujuh lapangan terbang lain di samping KLIA.

Ia adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, KLIA2, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad  Shah, Pahang, dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Artikel Lain