suria

Polis Siasat Himpunan Halau Cina, India Dari Malaysia

Tan Sri Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap pertubuhan yang dikatakan bakal mengadakan perhimpunan bagi mendesak kerajaan menghalau kaum Cina dan India di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan dibuat susulan baner dan gambar yang tersebar di media sosial mengajak orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka bagi mendesak kerajaan menghalau kaum Cina dan India supaya hukuman hudud dapat dilaksanakan.

"Kita sudah mulakan siasatan.

"Setakat ini persatuan itu menafikan bahawa mereka mengeluarkan baner itu," katanya selepas mengadakan wawancara khas sempena Hari Polis Ke-208 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, Jumaat.

Menurut Khalid, baner tersebut turut mencetak gambar tiga logo dengan nama Pertubuhan Kebajikan Gabungan Melayu Islam Malaysia.

"Ada tiga logo dalam banner tersebut. Mereka mendakwa baner tersebut dikeluarkan oleh pihak lain yang cuba untuk merosakkan nama persatuan...apa pun kita sedang menjalankan siasatan," katanya.

Pada Khamis, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.

Sebelum ini, Kanun Jenayah Syariah II 1993 tertangguh pelaksanaannya lebih 20 tahun selepas ia diluluskan DUN Kelantan pada 1993 kerana kekangan dari segi perundangan.

Usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan kanun berkenaan menempuh pelbagai kontroversi terutama tentangan daripada orang bukan Islam khususnya DAP iaitu rakan PAS dalam pakatan pembangkang.

Parti Gerakan juga memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu.


Tan Sri Khalid Abu Bakar, hudud

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain