suria

Loji Sungai Semenyih Beroperasi Semula

SHAH ALAM: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihentikan operasinya 8.30 malam tadi berikutan peningkatan parameter mangan dan ammonia di sungai itu, kembali beroperasi sepenuhnya pagi Jumaat.

Pengerusi, Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib dalam kenyataan hari ini berkata, bekalan air pulih berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah meningkatkan semula pengeluaran air terawat kepada tahap normal, sejak 6.15 pagi tadi.

"Pada 6.15 pagi LRA dapat beroperasi sepenuhnya dan pengepaman air bersih sebanyak 682 juta liter sehari ke tangki air simpanan telah dimulakan," katanya.

Berikutan penutupan sementara loji tersebut, sebahagian pengguna di 61 kawasan di Wilayah Petaling (143,098 pintu rumah); 209 kawasan di Wilayah Hulu Langat (143,413 pintu rumah); 75 kawasan di Wilayah Kuala Langat (47,147 pintu rumah) dan 85 kawasan di Wilayah Sepang (61,469 pintu rumah) mengalami gangguan bekalan air.

Penutupan operasi loji rawatan air itu kini masuk kali keempat dilakukan dalam tempoh dua bulan setelah Sungai Semenyih mengalami pencemaran yang sama hingga menyebabkan operasi loji tersebut dihentikan pada 15 Februari, 3 Mac dan pada 7 Mac lepas.

Sungai Semenyih

Artikel Lain