suria

Sultan Johor Teruskan Tradisi Tegas Kurnia Darjah Kebesaran

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar ketika ditemubual oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai (kanan) dan Ketua Biro The Star Johor, Nelson Benjamin.

JOHOR telah mengurangkan jumlah mengurniakan anugerah pada setiap tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selain itu kerajaan Johor juga menarik semula gelaran yang diberikan.

S: Tuanku, Johor dikenali dengan kesukaran untuk mengurniakan anugerah (gelaran). Apa pendapat Tuanku terhadap pandangan rakyat Malaysia bahawa terlalu banyak gelaran Datuk di negara ini.

J: Tentang perkara ini, Beta sedar tentang perbualan orang ramai bahawa jika anda melontar batu, pasti akan terkena Datuk. Tetapi Beta ingin menambah perumpamaan itu, jika anda melontar batu, ia akan terkena Datuk dan melantun terkena seorang lagi Datuk. Situasi ini adalah realiti dan kita tidak boleh menafikannya. Kita mesti menyedari perasaan orang ramai terhadap keadaan itu.

Beta tidak mahu bercakap tentang negeri lain. Ramai orang berbicara tentang gelaran yang boleh dibeli. Beta tidak mahu menceritakan isu ini dengan lebih mendalam, tetapi Beta memberi jaminan bahawa Johor tidak akan mengurniakan anugerah atau gelaran dengan mudah.

Jika terlalu banyak anugerah dikurniakan, nilai gelaran itu akan hilang. Orang ramai tidak lagi akan menghormati anda dan mereka akan bertanya di negeri mana gelaran itu dikurniakan dan institusi diraja akan terjejas untuk jangka masa yang panjang. Kita tidak mahu Malaysia menjadi negara yang paling banyak memiliki individu yang mempunyai gelaran.

Sebagai jaminan, perkara ini tidak akan berlaku di Johor selagi Beta masih ada.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bakal dimahkotakan minggu depan.

S: Terdapat tuduhan yang mengatakan Tuanku merancang untuk membuka kasino di Johor. Apa ulasan Tuanku.

J: Beta sedar tentang spekulasi dan khabar angin yang mengatakan Tan Sri Vincent Tan dan Beta merancang untuk membuka kasino bersama-sama, selepas Beta membeli saham Berjaya semata-mata kerana beliau mempunyai lesen (perjudian Sports Toto).

Beta boleh memberi jaminan bahawa tiada kasino akan dibuka di Johor selagi Beta masih ada. Di Johor, kami tidak menggalakkan pemberian lesen perjudian dan jika mampu, Beta mahu semua pusat perjudian haram dihapuskan oleh pihak polis.

ISU PERSEKITARAN

S: Tuanku sering menyuarakan kebimbangan terhadap isu persekitaran. Boleh Tuanku jelaskan lagi tentang isu itu.

J: Tiada faedahnya jika menjadi sebuah negeri membangun jika alam persekitaran kita tercemar serta ia akan menjadi tempat yang tidak sesuai bagi rakyat untuk meneruskan kehidupan.

Oleh sebab itu, Beta mengarahkan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa yang berkenaan untuk memastikan tiada aktiviti pembalakan haram di Johor.

Beta menyokong penuh keputusan Kerajaan Negeri untuk membekukan aktiviti pembalakan di seluruh negeri bermula tahun ini manakala aktiviti pembalakan yang sedia ada akan diteruskan sehingga kontrak mereka luput. Kemudian tiada lagi pembalakan di negeri ini.

Beta juga mahu Kerajaan Negeri meningkatkan jumlah taman hijau di Johor serta mengekalkan kawasan hutan yang sedia ada dan usaha memulihkan persekitaran.

Itu sebabnya melalui projek Forest City, penekanan khusus diberikan terhadap alam sekitar dan kehijauan.

Pengangkutan di pulau tersebut diberikan secara percuma dan terdapat sistem kereta api monorail di merata-rata tempat. Malah kereta akan ditempatkan di parkir bawah tanah.

Beta mahu melihat suasana hijau dan pokok di setiap tempat di tengah-tengah perkembangan pesat projek itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Media The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai (kanan) ketika menemubual Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Baru.

PEMBANGUNAN NEGERI

S: Johor dilihat sebagai mempunyai banyak pembangunan tidak dirancang yang tidak dimasukkan dalam Pelan Utama Iskandar. Berhubung perkara itu, adakah Tuanku berasa bahawa pembekuan kelulusan pembangunan hartanah di Johor.

J: Perkara ini diputuskan oleh Menteri Besar tetapi sebagai Sultan, Beta mahu melihat keseimbangan pembangunan.

Beta tidak mahu melihat Johor Bharu dipenuhi dengan bangunan sahaja, sebaliknya rakyat perlu mendapat manfaat daripada apa jua pembangunan.

Tentunya akan berlaku kesan lebihan dengan rakyat biasa mampu membuka perniagaan bagi menawarkan perkhidmatan bagi mereka yang membeli rumah di sini.

Rakyat biasa Johor mesti melihat kesan limpah tersebut dan Beta mahu rakyat negeri ini mendapat faedah daripada perubahan yang dilakukan.

Beta juga sedar tentang keluhan rakyat bahawa harga rumah yang dijual terlalu mahal terutamanya bagi golongan miskin.

Beta berharap pihak Kerajaan akan mempercepatkan proses pembinaan 28,000 rumah mampu milik di Johor terutamanya untuk pembeli rumah pertama.


S: Terdapat segelintir pihak yang mendakwa Tuanku menggunakan kuasa Sultan bagi memperoleh tanah negeri. Apa penjelasan Tuanku.

J: Beta boleh menyebut jumlah tanah yang diambil oleh Kerajaan Negeri dari Beta, bukan sebaliknya. Di Pengerang, Kerajaan Negeri mengambil tanah Beta. Dalam sesetengah kes, Beta sendiri membayar kepada Kerajaan Negeri kerana tidak mampu membayar kepada beta selepas mengambil tanah tersebut.

Apabila Kerajaan membina kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Johor yang baharu dan menarah Bukit Chagar dan pangsapuri Lumba Kuda, Beta memberi tanah di Bakar Batu sebagai tapak penempatan baharu bagi penduduk pangsapuri itu.

Malah keluasan tanah Beta di Paloh semakin mengecil kerana Kerajaan Negeri mahu membina empangan Kadang bagi menyalurkan air kepada penduduk di Kluang.

Dakwaan tersebut ternyata tidak benar kerana Beta tidak perlu mengambil tanah Kerajaan Negeri. Beta tidak pernah meminta sesuatu secara percuma, sebaliknya sanggup membayar untuk mendapatkannya melebihi harga pasaran dan membayar secara tunai.

HUBUNGAN DENGAN MENTERI BESAR

S: Tentang Menteri Besar, ada persepsi yang mengatakan Tuanku mempunyai pengaruh yang lebih besar berbanding beliau. Apa pandangan Tuanku.

J: Anda memilih perkataan “persepsi”. Beta tidak boleh mengawal percakapan orang ramai. Beta juga tidak boleh mengarahkan Menteri Besar sesuka hati.

Beliau merupakan ketua Kerajaan Negeri. Beliau dipilih secara majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN). Beta adalah Sultan dan Beta mengetahui peranan Beta dengan baik. Apa sahaja kedudukan yang diberikan, kami berkongsi objektif yang sama bagi menjadikan Johor maju dan makmur.

Beta mempunyai hubungan yang baik dengan beliau. Hubungan tersebut membantu, mungkin disebabkan kami merupakan rakan sekolah yang sama. Kami juga menjaga hubungan ini dengan baik.


S: Adakah Tuanku mempunyai masalah dengan Menteri Besar sebelum ini, Tan Sri Ghani Othman.

J: Beta tidak mahu berbicara tentang perkara yang lepas. Ia sudah berlalu.





Artikel Berikut

Artikel Lain