suria

Kelantan Lulus Pindaan Undang-Undang Hudud

KOTA BAHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Khamis meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri ini.

Kesemua 44 anggota dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan.

Sejarah tercatat apabila kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional (BN) menyokong rang undang-undang itu yang dibentangkan kerajaan negeri pimpinan PAS melalui Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Kesemua 31 anggota dewan daripada PAS dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR-Guchil) Mohamad Roslan Puteh, menyokong rang undang-undang berkenaan.

Satu kerusi yang dimiliki PAS iaitu DUN Chempaka kosong berikutan kematian  penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari lepas.

Dua belas anggota DUN BN yang kesemuanya Umno ialah Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ayer Lanas), Datuk Nozula Mat Diah (Paloh), Datuk Md Alwi Che Ahmad (Kok Lanas), Mat Razi Mat Ail (Pengkalan Kubor), Mat Yusoff Abd Ghani (Nenggiri), Ab Aziz Yusof (Galas), Datuk Ramzi Abd Rahman (Dabong), Datuk Abdul Aziz Derashid (Kuala Balah), Datuk Mohd Adhan Kechik (Bukit Bunga), Zawawi Othman (Semerak), Zulkefli Ali (Selising) dan Bakri@Mohamad Bakri Mustapha (Gual Ipoh).

Rang undang-undang itu diluluskan selepas dibahaskan empat anggota dewan iaitu Datuk Hassan Mohamood (PAS-Tawang), Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas), Dr Yusnan Yusof (PAS-Melor) dan Datuk Husam Musa (PAS-Salor).

Sebelum ini, Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali hukum hudud, qisas dan takzir, tertangguh pelaksanaannya lebih 20 tahun selepas ia diluluskan DUN Kelantan pada 1993 kerana kekangan dari segi perundangan.

Usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan kanun berkenaan menempuh pelbagai kontroversi terutama tentangan daripada orang bukan Islam khususnya DAP iaitu rakan PAS dalam pakatan pembangkang.

Pada Rabu, parti Gerakan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu.

Beberapa pindaan dibuat pada kanun berkenaan iaitu ia hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas mereka.

Artikel Lain