suria

Cadangan Selangor Bangunkan Sistem Pengangkutan Awam Akan Dibawa Ke Kabinet - Fadillah

Azmin Ali dan Fadillah Yusof (kiri).
SHAH ALAM: Cadangan kerajaan Selangor untuk membangunkan sistem pengangkutan awamnya sendiri dan keterbukaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan akan dibawa ke Kabinet.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perbincangan secara menyeluruh dengan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali tentang pembangunan infrastruktur pengangkutan awam di Selangor telah diadakan dan ia merupakan satu langkah permulaan yang baik.

"Perbincangan berjalan dengan baik sekali untuk menentukan dan menyelesaikan beberapa isu dan perancangan.

"Ada beberapa perkara yang dibangkitkan akan saya bawa ke Kabinet untuk mendapat panduan dan keputusan tentang hasrat kerajaan Selangor. Bila sudah muktamad kita akan umumkan," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Azmin di pejabat Menteri Besar di sini, Khamis.

Fadillah berkata, antara yang akan dikemukakan adalah mengenai sistem pengangkutan awam yang terletak di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Katanya, dalam isu ini MOT dan SPAD perlu mengambil inisiatif berkolaborasi dengan kerajaan negeri bagi memastikan projek untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi ini dapat dilaksanakan.

"Dari segi pengangkutan awam ia bukan terletak di bawah Kementerian Kerja Raya, kita hanya bertanggungjawab terhadap jalan raya dan lebuhraya.

"Ini yang kita akan bawa balik dan bincangkan," katanya.

Jelasnya, apa yang menjadi keutamaan kementerian buat masa ini adalah memastikan apa juga pelan pembangunan  yang dirancang memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Selangor.

Katanya, ia penting supaya pembangunan yang dijalankan mampu memberi kemudahan dan kesejahteraan kepada rakyat serta memberi kesan ekonomi dan sosial yang positif.

Artikel Sebelum

Artikel Lain