suria

Langkah Kerajaan Beli Jet Baharu Dipertahan

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen mempertahankan langkah kerajaan membuat pembelian pesawat baharu seperti mana yang didakwa puak pembangkang dan tersebar dalam media sosial.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) membidas pembangkang dengan menjelaskan tujuan pembelian bagi memastikan keselamatan pemimpin negara terjamin semasa menjalankan lawatan di dalam atau di luar negara

"Pesawat itu bukannya milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ia milik penuh kerajaan. Perolehan itu juga mengambil kira aspek keselamatan," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Khamis. 

Beliau berkata perolehan pesawat baharu itu dapat mengurangkan kos operasi, pengurusan dan penyelenggaraan pesawat sedia ada iaitu pesawat jenis AC319 yang berusia hampir 20 tahun.

Rafizi Ramli (PKR-Pandan) sebelum ini mendakwa Perdana Menteri telah membeli sebuah jet peribadi baharu namun Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan balas mengenai isu berkata bahawa pesawat eksekutif Airbus Corporate Jetliner (ACJ320) dibeli untuk menggantikan Boeing Business Jet (BBJ) yang telah berusia 16 tahun.

JPM berkata kerajaan memperoleh ACJ320 melalui kontrak pembelian sewa beli untuk tempoh 15 tahun dan pesawat BBJ itu akan dilupuskan bagi membiayai pembelian ACJ320. 

Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) menyarankan kepada kerajaan Negeri Kelantan agar menghentikan pengeluaran lesen bagi projek tanaman di kawasan pedalaman

Beliau berkata langkah itu bagi mengelakkan kejadian banjir berlumpur berulang seperti tahun lepas setelah tanah di kawasan tadahan hujan yang diterokai di pedalaman lalu dibawa air menyebabkan berlakunya banjir berlumpur
turun ke kawasan hilir.

"Akibat banjir berlumpur itu Kelantan mengalami kerugian hampir RM1 bilion," katanya. 

Persidangan dewan bersambung Isnin.

Artikel Lain