suria

Malaysia Lihat Kemungkinan Adakan Struktur, Undang-Undang Pengurusan Bencana

Tan Sri Muhyiddin Yassin
TOKYO: Malaysia sedang melihat kemungkinan untuk mewujudkan struktur baharu dalam pengurusan bencana serta undang-undang khas bagi membolehkan isu bencana diuruskan dengan teratur dan tersusun, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan perdana menteri berkata ketika ini semua perkara berkaitan bencana adalah di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana ia aspek keselamatan, tetapi bidang tugas MKN menjadi terlalu banyak ketika bencana berlaku.

Beliau berharap isu bencana diuruskan oleh satu struktur baharu, dengan seorang pegawai tertinggi diberikan kuasa penuh untuk mengerah segala kemudahan, sumber dan aset ketika berlaku bencana.

"Kita (kerajaan) akan teliti (struktur baharu). Kita tak ada undang-undang khas. Ada struktur tadbir urus yang kena kaji, perkukuhkan undang-udang tertentu supaya lebih mudah dilaksanakan (pengurusan bencana), lebih berkesan dan ada pihak bertanggunjawab.

"Tak macam sekarang ni semua urusan bawah MKN. MKN lihat semua aspek keselamatan negara, tapi bila soal bencana, beban banyak sangat untuk MKN," katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan empat harinya di Jepun, di sini Isnin.

Muhyiddin tiba di sini Jumaat lepas untuk lawatan kerja empat hari dan antaranya menghadiri Persidangan Dunia Mengenai Pengurangan Risiko Bencana Pertubuhan Bangsa Bersatu kali ketiga di Sendai.

Persidangan di Sendai, kira-kira 380 km dari Tokyo, bermula Sabtu hingga Rabu.

Pada Sabtu di Sendai, timbalan perdana menteri mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan pada Ahad beliau mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Akihiro Ota.

Hari ini beliau mendengar taklimat oleh pihak berkuasa Jepun berkenaan pengurusan bencana dan dasar tindak balas yang disampaikan oleh Ketua Pengarah bagi Pengurusan Bencana, kerajaan Jepun Hirofumi Hihara.

Pada sidang media itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata dalam taklimat oleh kerajaan Jepun itu, beliau dimaklumkan bahawa Jepun tidak mewujudkan badan khusus atau agensi khas untuk pengurusan bencana tetapi ia dilakukan menerusi struktur tadbir urus dan mempunyai undang-undang khas.

"Struktur seperti majlis untuk tangani bencana di Jepun dengan dikepalai perdana menteri sendiri. Tugas penyelarasan adalah di bawah seorang pegawai tinggi berjawatan ketua pengarah dengan kuasa yang luas untuk gerakkan sumber manusia, aset sewaktu bencana dan langkah-langkah susulan untuk pulihkan keadaan selepas bencan.

"Ini satu model kita boleh pelajari. Walaupun di Jepun bencana utama adalah gempa bumi, mereka juga ada pengalaman banjir, mereka juga beri tumpuan kurangkan kesan banjir, ada tindakan-tindakan mitigasi yang mereka ambil untuk kurangkan kesan banjir.

"Ia agak berjaya. Bidang ini kita lebih utamakan. Saya juga setuju kita susuli dengan hantar pegawai tinggi kita di sini untuk kaji struktur dia,  majlis dia. Kalau sesuai boleh terima pakai di Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata Hota juga mencadangkan supaya diadakan kerjasama dalam pengurusan bencana, dan dengan kerjasama itu, Malaysia boleh mendapat faedah daripada dana yang diumumkan Abe Sabtu lepas iaitu peruntukan US$4 bilion (RM14.85 bilion) untuk membantu negara-negara membangun yang menghadapi masalah bencana.

"Kita boleh dapat sumber-sumber tertentu dari Jepun untuk bantu Malaysia.Kita setuju untuk memeterai memorandum persefahaman. Lepas ini ada susulan para pegawai bekerjasama untuk timba pengalaman Jepun bagi manfaat di Malaysia," katanya.

Di Sendai, timbalan perdana menteri turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Turki Numan Kurtulmus.

Hari ini di Tokyo, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sains dan Teknologi Jepun Hakubun Shimomora selain menandatangani memorandum kerjasama dalam bidang pendidikan antara kedua-dua negara.

Artikel Lain