suria

SR1M Bantu Kurang Perbelanjaan Telekomunikasi

PUTRAJAYA: Kerajaan melancarkan, Sim Kad Rakyat 1Malaysia (SR1M) pada Isnin sebagai inisiatif terbaharu bagi membantu meringankan beban perbelanjaan telekomunikasi.

SR1M yang dikeluarkan hasil kerjasama Optic Tech Sdn Bhd dan U-Mobile Sdn Bhd menawarkan khidmat perkhidmatan talian telekomunikasi, khidmat pesanan ringkas (SMS) serta akses internet.

Setiap pek permulaan yang dijual serendah RM5.90 itu menawarkan kredit sebanyak RM5 berserta 150 Megabait (MB) akses internet.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Sri Hasan Malek berkata, SR1M merupakan nilai tambah dalam produk 1Malaysia bagi meringakan beban perbelanjaan telekomunikasi rakyat.

"Saya berasa bangga dengan pelancaran SR1M kerana dapat membantu meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan telekomunikasi sepenuhnya.

"SR1M juga bakal memberi perkhidmatan yang berkualiti  setanding dengan pembekal perkhidmatan telekomunikasi yang lain. Malah harga untuk mendapatkan pek permulaan juga cukup berpatutan dan mampu milik," kata ketika berucap pada majlis pelacaran SR1M di sini, Isnin.

Hasan menambah, pengguna SR1M tidak perlu mendaftar dalam mana-mana pelan untuk menikmati kadar rendah yang ditawarkan termasuk kadar rata panggilan dan sms ke semua rangkaian di seluruh negara.

"Saya berharap SR1M dapat mencapai satu juta pengguna pada tahun ini tanpa mengira peringkat umur dan bangsa," jelasnya.

Beliau memberitahu, SR1M yang bermula dengan prabayar ketika ini akan diperluaskan kepada pascabayar, selain mewujudkan rangkaian kedai telekomuniaksi Bumiputera yang sejajar dengan saranan kerajaan.

SR1M, KPDNKK

Artikel Lain