suria

Sultan Kelantan Sokong Usaha Kerajaan Negeri Laksana Kanun Jenayah Syariah II

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah semasa merasmikan Majlis Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelantan Ke-13 di Kota Bharu, Isnin. -fotoBERNAMA

KOTA BAHARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menyokong usaha kerajaan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 di negeri ini.

Sultan Kelantan bertitah baginda difahamkan kerajaan negeri berhasrat untuk membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen bagi membolehkan Kelantan melaksanakan undang-undang berkenaan.

"Semoga beroleh kejayaan dengan sokongan semua pihak, Insya-Allah," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Ke-13 2015 di Kompleks Kota Darulnaim di sini Isnin.

Rang undang-undang persendirian itu, yang belum diputuskan tarikh bila ia akan dibentangkan di Parlimen, ialah untuk meminda Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sokongan Sultan berhubung pelaksanaan kanun jenayah syariah itu memberi suntikan semangat yang besar kepada kerajaan negeri.

"Alhamdulillah kami rasa semakin bersemangat untuk meneruskan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah ini bila ia mendapat sokongan baginda Sultan Kelantan," katanya kepada pemberita selepas istiadat berkenaan.

Mohd Amar berkata walaupun mendapat pandangan berbeza daripada DAP, rakan pakatan PAS, terhadap pelaksanaan hukum hudud, ia tidak menjadi halangan untuk diteruskan.

Beliau berkata pada persidangan DUN Kelantan selama empat hari iaitu hingga Khamis ini, kerajaan negeri akan membuat pindaan kepada kanun jenayah syariah berkenaan untuk penambahbaikan dan berharap kesemua 45 anggota DUN termasuk 12 orang daripada Barisan Nasional akan memberi sokongan.

"Insya-Allah, Rabu ini kami akan bincangkannya seperti yang dijadualkan.Kami jangkakan ia juga akan mendapat sokongan seratus peratus yang hadir. Sebab pada tahun 1993 dulu, semua yang hadir menyokong termasuk dua anggota DUN Barisan Nasional," katanya.

Terdahulu Sultan Kelantan memeriksa perbarisan kehormatan yang dianggotai 102 anggota dan tiga pegawai daripada Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa.

Turut hadir Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Artikel Lain