suria

Dua Pemimpin Tertinggi MILF Warga Filipina

Ibrahim Murad (kiri) dan Mohagher Iqbal.
MANILA: Kerajaan Filipina menidakkan kenyataan yang mendakwa bahawa Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) Ibrahim Murad dan ketua perundingnya Mohagher Iqbal adalah warga Malaysia, seperti yang dibuat oleh bekas setiausaha menteri dalam negeri Filipina, Rafael Alunan III.

Setiausaha Pejabat Operasi Komunikasi Presiden Herminio Coloma Jr menegaskan bahawa Ibrahim dan Mohagher, bukan warga Malaysia dan kedua-duanya telah terlibat dengan kerajaan Filipina dalam rundingan damai sejak 17 tahun lalu.

Beliau berkata ia berjalan sejak pentadbiran Ramos apabila Alunan menjadi Setiausaha Jabatan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Alunan berkhidmat dari 1992 hingga 1996.

"Sepanjang tempoh ini, kewarganegaraan mereka tidak pernah dipersoalkan. Malah, kedua-dua majlis Kongres telah mengiktiraf sah peranan mereka dalam proses damai dengan menjemput mereka untuk hadir dalam pendengaran kongres," kata Coloma.

Coloma berkata Mohagher juga pernah bercakap di media bahawa beliau dan Ibrahim hanya mempunyai pasport Filipina, pengakuan yang boleh membalas tuntutan tidak berasas Alunan di akaun Facebooknya bahawa kedua-dua pemimpin MILF itu adalah rakyat Malaysia.

Anggota Parlimen Davao, Karlo Alexei Nograles dengan pantas membangkitkan gesaan untuk menyiasat kerakyatan Ibrahim Murad dan Mohagher.

Coloma berkata kerajaan juga komited untuk melaksanakan perjanjian damai dengan MILF walaupun mendapat tindak balas hebat daripada misi Mamasapano yang membawa kepada kematian 44 komando Pasukan Tindakan Khas, 18 pemberontak MILF dan lima orang awam.

"Kerajaan kekal komited dalam mewujudkan keamanan berkekalan, yang dibina di atas asas kepercayaan bersama," kata Coloma. Phillipine Daily Inquirer/ ANN

Artikel Lain