suria

AGM Majlis Peguam Dijangka 'Panas'

Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong.

KUALA LUMPUR: Suasana 'panas' dijangka berlaku pada mesyuarat agung tahunan Majlis Peguam yang berlangsung pada Sabtu dengan beberapa usul daripada anggota kanan badan itu.

Antaranya ialah mengenai resolusi sama ada presidennya, Christopher Leong perlu menarik balik kenyataan beliau berhubung penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Liwat II.

Satu lagi usul adalah untuk mengecam peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di atas tindakannya berikutan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun Shafee memperoleh injunksi interim menghalang badan itu daripada membincangkan usul berkenaan.

Usul terhadap Leong juga menggesa supaya beliau mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada badan kehakiman.

Leong telah mengeluarkan kenyataan akhbar yang bertajuk 'Datuk Seri Anwar Ibrahim: Yang didakwa atau dianiaya?' pada 11 Februari, di mana beliau mempersoalkan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam memutuskan untuk mengekalkan penyabitan kesalahan Anwar.

Beliau berkata keputusan itu sebagai 'satu kejutan kepada orang ramai' dan mempersoalkan beberapa aspek pertuduhan liwat terhadap Anwar.

Usul itu menyatakan bahawa kenyataan akhbar itu dibuat secara 'tergesa-gesa' dan tidak mencerminkan pandangan majoriti daripada Majlis Peguam dan didakwa sebagai 'serangan terburuk terhadap integriti mahkamah Malaysia' sejak krisis kehakiman 1988.

Selain itu usul lain ialah bertujuan untuk membatalkan resolusi yang dicadangkan oleh Leong semasa mesyuarat agung luar biasa Majlis Peguam pada 19 September tahun lepas berhubung gesaan pemansuhan Akta Hasutan 1948.

Resolusi ini adalah sebahagian daripada tujuh usul yang dijadual akan dibentangkan di sebuah hotel di sini hari ini.

Majlis Peguam, Christopher Leong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain