suria

PAS Teruskan Rancangan Hudud

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersalaman dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub ketika mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, Kota Baru pada Jumaat.

KOTA BARU: PAS Kelantan tidak akan menangguhkan rancangannya untuk membentangkan pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Dewan Undangan nNegeri (DUN) yang akan bersidang minggu depan semata-mata untuk menyenangkan hati DAP.

Malah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, tiada sebarang perubahan dibuat kepada draf pindaan seperti yang dikemukakan kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada hari Khamis lalu.

"Kita akan teruskan dengan meminda undang-undang berdasarkan draf tersebut pada mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang akan datang," katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di kediaman rasmi Menteri Besar di sini pada Jumaat.

Mohd Amar berkata, kebimbangan yang disuarakan oleh pengerusi biro undang-undang DAP, Gobind Singh Deo bahawa apa yang dibentangkan oleh PAS Kelantan merupakan undang-undang baharu dan bukannya pindaan adalah pendapatnya sendiri.

"Isu yang dia katakan adalah tidak benar sama sekali. Apa yang kita bentangkan ialah pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah II 1993 dengan hanya tiga pindaan utama," katanya.

Gobind pada Khamis menggesa PAS menimbang semula rancangannya untuk membentangkan pindaan yang dicadangkan itu.

Menurut Gobind, draf itu dilihat lebih seperti cadangan untuk enakmen baru dan bukan pindaan kepada akta sedia ada.

Sementara itu pada sidang media berasingan, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata mesyuarat itu membincangkan mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh sekutu Pakatan, terutamanya DAP, tetapi memutuskan bahawa pembentangan pindaan akan diteruskan seperti yang dirancang.

"Kami akan berpegang kepada draf yang dikemukakan kepada Majlis Pakatan Rakyat tanpa apa-apa perubahan," katanya.

Hudud, PAS, DAP, Pakatan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain