suria

1MDB Dalam Proses Laksanakan IPO - Ahmad Husni

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini dalam proses melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) untuk mendapatkan suntikan modal bagi menangani aliran tunai syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, langkah mendapatkan sumber kewangan jangka pendek itu dijangka dilaksanakan pada Jun atau Julai depan.

"IPO sangat penting, jadi dalam jangka pendek diperlukan untuk penstrukturan semula pinjaman yang sedia ada dan setelah selesai IPO itu, insya-Allah ia akan menjadi lebih lancar untuk 1MDB," katanya menjawab soalan tambahan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) mengenai kedudukan kewangan 1MDB, di Dewan Rakyat, Khamis.

Menjawab soalan asal Mohd Fasiah mengenai prestasi 1MDB, Husni berkata, syarikat itu telah melaksanakan dua inisiatif, iaitu konsolidasi perniagaan dan rasionalisasi bagi meningkatkan potensi perniagaannya.

Menurutnya, inisiatif konsolidasi dalam konteks tenaga diletakkan di bawah anak syarikatnya Edra Energy, kerana mempunyai potensi yang besar.

"Pulangan dari segi pendapatan kasar adalah kira-kira RM3.8 bilion dengan keuntungan sebelum cukai RM1.3 juta," katanya.

Beliau berkata dalam konteks pembangunan hartanah jangka panjang, tumpuan diberikan kepada dua projek, iaitu Tun Razak Exchange (TRX) dengan nilai pembangunan kasar RM40 bilion dan Bandar Malaysia, RM150 bilion.

Ahmad Husni berkata, TRX mengambil masa 15 tahun dengan fasa pertama dijangka siap pada 2018 dan projek Bandar Malaysia akan bermula pada akhir 2016 setelah siap pemindahan kuarters tentera dan polis.

Menjelaskan inisiatif rasionalisasi aset tanah 1MDB, Husni berkata, tanah di Pulau Pinang dan Pulau Indah boleh di 'monetize' kerana syarikat itu memerlukan kewangan yang lebih besar untuk melaksanakan pembangunan.

Menjawab soalan tambahan Rafizi Ramli (PKR-Pandan) mengenai suntikan dana baharu oleh kerajaan kepada 1MDB, Ahmad Husni berkata suntikan dana sebagai 'kredit siap sedia' diberikan berjumlah RM950 juta, dan bukannya RM970 juta seperti yang didakwa pembangkang.

"Sebanyak RM60 juta daripada dana itu sudah dipakai," kata Ahmad Husni.

Menempelak pandangan negatif pembangkang mengenai 1MDB, Husni berkata, beliau yakin syarikat pelaburan kerajaan itu mempunyai prospek positif seperti mana pembinaan Pelabuhan Klang.

Artikel Lain