suria

Hadi Awang Sedia Dicabar, Tuan Ibrahim Sedia Tanding Timbalan

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau bersedia dicabar pada muktamar tahunan parti ke-61 Jun depan sekiranya pertandingan itu mendapat sokongan anggota parti.

Beliau berkata selaras dengan Fasal 25 (2) Perlembagaan PAS, jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga orang Naib Presiden hendaklah dipilih dan dilantik pada Muktamar Tahunan PAS setiap dua tahun.

"Tapi kita kena tunggu dahulu memandangkan mesyuarat agung belum bermula. Tapi kalau ada pencabar, boleh cabar saya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Mesyuarat agung bagi kesemua 22 kawasan PAS di Selangor akan bermula pada 15 Mac ini melibatkan pemilihan di peringkat cawangan, kawasan dan pusat.

Ditanya mengenai kenyataan anggota jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad yang menegaskan bahawa jawatan Presiden tidak semestinya disandang oleh golongan ulama, Abdul Hadi berkata:"Itu kena tanya orang PAS. Jangan tanya saya. Saya tidak boleh pilih saya sendiri".

Khalid sebelum ini menulis di laman blog miliknya mengenai jawatan Presiden PAS lebih sesuai disandang individu yang mempunyai kepakaran politik dan tidak semestinya dalam kalangan ulama.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula menolak pencalonan PAS Kota Baharu yang mencalonkannya bertanding jawatan Presiden.

Ketika ditemui pemberita pada satu majlis di Marang pada Khamis, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaannya bertanding jawatan Timbalan Presiden parti sekiranya mendapat pencalonan.

"Sebelum ini (Perhimpunan Agung PAS), ada cadangan untuk saya bertanding jawatan timbalan presiden, naib presiden dan jawatan dalam jawatankuasa PAS pusat.

"Tetapi, dengan keupayaan saya, sudah cukup untuk saya bertanding naib presiden tetapi kali ini jika dicalonkan (timbalan presiden), saya akan berfikir tentangnya...saya akan melakukan solat istikharah," katanya pada sidang akhbar.

Mengulas mengenai pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993, yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan minggu hadapan, Abdul Hadi berkata antara elemen yang dipinda termasuk tentang kedudukan orang bukan Islam dalam undang-undang itu.

Artikel Lain