suria

Azmin Ali Bagi Sebab Perjanjian Utama Air Terlupus

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mendakwa pendirian kerajaan Persekutuan yang enggan menghormati prinsip dan semangat Perjanjian Utama penstrukturan semula industri air Selangor, menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan dan telah lupus dengan sendirinya.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan hari ini berkata ia merangkumi soal mengiktiraf pemilikan aset air Selangor berjumlah RM14.9 bilion yang bakal disuntik ke dalam Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Soal kedua menyentuh mengiktiraf dan menerima pemindahan RM2 bilion daripada aset milik Air Selangor bagi tujuan penyediaan dana kepada entiti itu bagi mengambil alih semua konsesi air di negeri ini.

Aspek seterusnya menyentuh pengeluaran Lesen Kemudahan kepada Air Selangor sebagai pengiktirafan pemilikan ke semua baki air yang dimiliki entiti itu.

Prinsip terakhir yang didakwa tidak dihormati ialah soal meluluskan pemeteraian Perjanjian Kemudahan dan Sewaan antara Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Air Selangor bagi penyewaan aset air yang akan dipindahkan kepada PAAB.

Mohamed Azmin berkata seperti yang telah diumumkan apabila beliau mengambil alih tugas dan amanah sebagai menteri besar pada September tahun lepas, pentadbiran baharunya sedia menghormati segala perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini.

Bagaimanapun, menurutnya, pentadbiran baharu itu tidak boleh membenarkan pelaksanaan perjanjian yang bercanggah daripada prinsip dan semangat yang telah dipersetujui.

"Percanggahan dari segi Perjanjian Utama yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan akan menyaksikan kerajaan negeri hilang kedaulatan ke atas tanah dan aset air milik kerajaan negeri Selangor," dakwa menteri besar itu.

Mohamed Azmin berkata isu kedaulatan pemilikan tanah dan aset air bukan sesuatu yang boleh diserah milik dengan sewenang-wenangnya.

Namun, katanya, seperti yang telah diumumkan pentadbirannya pada 5 Mac lepas, kerajaan negeri akan terus memantau dan memastikan bekalan air di Selangor dapat dibekalkan kepada semua pengguna secara berterusan.

"Sekiranya kerajaan Persekutuan bersetuju mengiktiraf kedaulatan tanah dan aset air milik Selangor dan tidak membuat tuntutan yang bercanggah dengan semangat perjanjian yang telah termeterai, maka kerajaan negeri bersedia untuk berbincang ke arah mencapai persetujuan bagi manfaat seluruh pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," jelasnya.

Semalam ketika ditemui pemberita di Parlimen, Mohamed Azmin memaklumkan bahawa kerajaan negeri memutuskan untuk membatalkan perjanjian penstrukturan air itu atas alasan kerajaan Persekutuan melanggar terma Perjanjian Utama yang ditandatangani pada 12 Sept tahun lepas.

Keputusan itu dikhuatiri bakal menjejaskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang fasa pertamanya dijadual siap pada 2017 untuk menyediakan air bersih kepada pengguna di kawasan terlibat.

Air Selangor, Azmin Ali

Artikel Berikut

Artikel Lain