suria

MH370: Keluarga Nor Fadzillah Reda, Anggap Harapan Berlaku Keajaiban Tipis

Keluarga suami Nor Fadzilah, Azrai Izet mengadakan tahlil untuknya pada Sabtu.

PETALING JAYA: Putih Idris, ibu mentua salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Nor Fadzillah Mat Rahim akan mengadakan majlis tahlil sempena genap setahun kehilangan menantu kesayangannya itu di Kajang pada pagi Sabtu.

"Keluarga mak cik akan adakan kenduri tahlil untuk menantu (Nor Fadzillah) di rumah pagi esok (Sabtu). Kita jemput budak-budak tahfiz dan anak-anak yatim dekat Kajang untuk datang ke kenduri ini.

"Kenduri ini juga akan disertai oleh ahli keluarga sebelah menantu. Kami masih berhubung dan bertanya khabar antara satu sama lain. Besan saya juga selalu menghubungi empat cucunya," kata Putih yang juga pesara guru.

Walaupun genap setahun kehilangan pesawat MH370, Putih berkata, beliau tetap merindui menantunya itu.

"Mana boleh mak cik lupakan dia... dia ibu kepada empat cucu mak cik. Boleh dikatakan setiap hari mak cik teringat pada dia," katanya.

Bagaimanapun, Putih berkata, beliau reda dengan ketentuan Ilahi dan akur dengan pengumuman kerajaan yang mengisytiharkan semua penumpang di dalam pesawat malang tersebut sebagai  terkorban.

Putih Idris

"Sebagai umat Islam kita kena reda dengan ujian-Nya. Kita juga terima apa yang diumumkan kerajaan. Sudah setahun pesawat itu hilang, harapan untuk melihat keajaiban berlaku amat tipis," katanya.

Beliau juga memberitahu, semua anak Nor Fadzillah sudah mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu bersama ibu tiri mereka.

Nor Fadzillah mempunyai empat anak, tiga lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berumur antara 14,  11,  lima dan tiga tahun.

"Cucu yang bongsu sudah tidak lagi meragam macam dulu. Mungkin dia sudah dapat terima pengganti ibu mereka. Syukur kerana mereka sudah dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Nor Fadzillah antara 239 penumpang yang berada di dalam pesawat malang yang dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac lalu.

Isteri kepada Azrai Izet Mohamad itu yang bertugas di Syarikat Freescale dijadualkan berada di China selama seminggu bagi melawat kilang syarikat tersebut di sana.

Sementara itu, Mat Rahim, bapa kepada Nor Fadzillah atau lebih mesra disapa sebagai Pak Rahim memberitahu beliau akan sentiasa berdoa agar anaknya itu dilindungi Allah.

"Semua waris penumpang pastinya masih mengharapkan keajaiban tetapi siapa kita untuk menolak takdir Allah? Apa yang boleh saya lakukan adalah untuk sentiasa berdoa untuknya," kata Pak Rahim yang akan menghadiri tahlil di rumah menantunya.

Artikel Lain