suria

Masyarakat Islam Wajib Ambil Berat Masalah Gugat Kesatuan Umat - Najib

Najib (tengah) bergambar kenangan bersama penerima-penerima anugerah pada Majlis Anugerah Dakwah Negara di Dewan Merak Kayangan Felda di Kuala Lumpur, Jumaat. Turut kelihatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (empat, kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (empat, kiri). Foto GLENN GUAN/THE STAR

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu masyarakat Islam mengambil berat permasalahan yang boleh menggugat kesatuan dan perpaduan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, punca-punca permasalahan itu harus diselesaikan secara tuntas agar ia tidak berulang kembali bagi membawa kesejahteraan bukan sahaja kepada umat Islam, tetapi juga kepada seluruh rakyat di negara ini.

"Tidak bersalahan untuk saya nyatakan bahawa, kesejahteraan yang dianjurkan dalam Islam bertitik tolak daripada prinsip kasih sayang iaitu rahmah. 

"Sesuai dengan sabda baginda Rasulullah SAW bahawa seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri,' katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Dakwah Negara (ADN) di sini, malam Jumaat.

Najib berkata, kejayaan Nabi Muhammad menyatukan masyarakat ketika mentadbir Madinah seharusnya diteladani dalam mentadbir rakyat pelbagai kaum di negara ini.

"Kemajmukan umat yang wujud di Malaysia bukanlah suatu yang tidak pernah didepani oleh baginda Rasulullah SAW. Malah, kita telah menyaksikan bagaimana baginda sebagai pemimpin Negara Islam Madinah telah berjaya daripada muzakarah para alim ulama mampu merealisasikan impian ini," katanya.

Najib juga berkata, kesatuan dan perpaduan yang ditunjukkan di antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam dakwah akan menjadi suatu indikator untuk menyelesaikan perbezaan dan meraikan kepelbagaian dalam umat Islam sendiri.

Usaha itu selaras dengan dasar kerajaan yang tidak sekadar menuju kepada kemajuan material malah kepentingan kemajuan spiritual umatnya bagi menginjak ke status negara maju, katanya.

Beliau juga berkata, usaha untuk mengembangkan syiar Islam dan memperkasanya dalam negara ini adalah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.

"Saya yakin dan percaya, dakwah menjadi salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kemajuan sumber manusia yang holistik. Islam melalui dakwah telah melahirkan umat Islam yang berperanan untuk menyumbang secara positif kepada negara di pelbagai peringkat dan lapangan," katanya. 

Justeru, Najib berkata tema Program Dakwah Negara iaitu 'Kasih Sayang Disemai, Perpaduan Dituai' anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bertepatan bagi mencapai usaha melahirkan kesejahteraan dalam kalangan umat Islam sebagai contohnya, di Malaysia.

"Kepentingan dan keutamaan kesatuan dan perpaduan umat amat jelas apabila Allah SWT melarang kita daripada berpecah belah serta menekankan pentingnya persaudaraan di dalam Islam," katanya.

Pada majlis itu, Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Datuk Dr Abdul Razak Kechik, 67, diumum pemenang Anugerah Pendakwah Negara manakala Anugerah Pendakwah Wanita disandang oleh pakar perunding mata dan Pengarah Pusat Lasik Mata, Pusat Perubatan Prince Court, Prof Dr Muhaya Mohamad, 54.

Dengan congakata 'Islam Itu Persaudaraan' untuk menyatupadukan umat Islam, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) memenangi ketegori Anugerah Pendakwah NGO manakala Imam Muda Muhamad Asyraf Mohd Ridzuan dipilih sebagai Anugerah Pendakwah Muda.

Anugerah Pendakwah Saudara Kita diberikan kepada Ketua Pegawai Dakwah Islamic Information and Services Foundation (IIS, ) Shah Kirit Kakulal Govindji dan Anugerah Pendakwah Seni Hiburan disandang oleh kumpulan nasyid Raihan. 

Kesemua pemenang bagi setiap kategori masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM15,000 dan sijil penghargaan serta hadiah iringan.

Anugerah julung kali diadakan sebagai penutup kepada program dakwah negara bagi meraikan penubuhan 40 tahun yayasan dengan kerjasama Institut Wasatiyah Malaysia (IWM).

Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, anugerah itu adalah satu program untuk meraikan 'orang-orang dakwah’ yang selama ini mungkin kurang dikenali walaupun mereka memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat melalui aktiviti dakwah.

Najib Tun Razak, Dakwah

Artikel Lain