suria

Najib Yakin Melayu Jadi Bangsa Disegani Di Mata Dunia

Najib beramah mesra bersama jemaah selepas menunaikan solat Maghrib pada Perhimpunan Perpaduan Melayu di Stadium Putra Bukit Jalil, Sabtu

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkeyakinan bahawa bangsa Melayu akan terus melangkah menjadi bangsa yang disegani di mata dunia.

Beliau menzahirkan keyakinan itu berdasarkan semangat yang ditunjukkan para hadirin terutamanya golongan belia yang bersama-sama dengannya pada Perhimpunan Perpaduan Melayu di Bukit Jalil, malam Sabtu.

"Namun, Melayu tidak harus leka, Melayu perlu terus melangkah maju dan berdikari. Kita perlu tingkatkan usaha kita melatih orang Melayu menjadi bangsa berpengetahuan dan mengukuhkan ekonomi mereka.

"Kita perlu memperjuang kepentingan agama Islam dan syiarnya; mempertahan institusi raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu; menegakkan maqasid syariah dengan bersikap sederhana; menjaga nilai-nilai murni; dan menjaga institusi keluarga," katanya menerusi catatan terbaru di dalam laman Twitternya, Ahad.

Katanya, panduan ini wajar menjadi wadah dan maslahah yang akan terus diperjuangkan dan digunakan untuk memajukan bangsa Melayu.

Perdana Menteri turut yakin bahawa seandainya bangsa Melayu mengekalkan keutuhan perpaduan dalam kalangan mereka dan berusaha ke arah memajukan bangsa, tiada apa yang tidak mampu dikecapi bersama.

Pada Sabtu, Najib menghadiri dan menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan tersebut di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini yang dihadiri ribuan hadirin.

Sementara itu, dalam satu lagi catatannya, Perdana Menteri berkata kerajaan akan meneruskan usaha menambahbaik pertahanan negara agar keselamatan dan ketenteraman serta kedaulatan sempadan negara terus terjamin.

"Hari ini adalah ulang tahun ke-82 Angkatan Tentera Darat Malaysia. Saya mengajak rakyat Malaysia bersama-sama saya mengucapkan terima kasih atas pengorbanan mereka dan keluarga serta mendoakan agar para perajurit angkatan darat terus cekal, tabah dan gagah," katanya.

Artikel Lain