suria

Suami Maut, Isteri, Tiga Anak Cedera Parah Kereta Dirempuh Traktor

IPOH: Seorang lelaki maut, manakala isteri dan tiga anaknya cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh sebuah traktor di Kilometer 14, Jalan Teluk Intan-Chenderong Balai, Teluk Intan, Ahad.

Dasril Anshuar, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu, manakala isteri serta tiga anaknya dihantar ke Hospital Teluk Intan, untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam kejadian 12 tengah hari Ahad, pemandu traktor itu dipercayai membelok masuk ke jalan utama tanpa memberi keutamaan kepada kenderaan mangsa yang datang dari arah jalan utama.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan Sharifuddin Jubri berkata anggotanya menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian pemandu kereta jenis Perodua Kancil itu.

"Operasi mengeluarkan mangsa selesai kira-kira 12.20 tengah hari," katanya.

Artikel Lain