suria

MyEG: Terpulang Kepada Kerajaan Untuk Kekal, Mansuh Caj

PETALING JAYA: Pengarah Eksekutif MyEG, Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha menegaskan terpulang kepada kerajaan sama ada ingin mengekalkan atau memansuhkan caj RM38 yang dikenakan bagi memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) menerusi sistem dalam talian.

Beliau berkata, bayaran tersebut akan kekal sehingga menerima arahan baharu daripada kerajaan.

"Ia terpulang kepada kerajaan untuk buat keputusan," katanya pada Jumaat.

Raja Munir berkata MyEG menyokong keputusan Kabinet untuk membuka semula kaunter memperbaharui permit pekerja asing selepas tarikh akhir pada Sabtu.

Rabu lalu, Kabinet memutuskan kaunter bagi pembaharuan PLKS di pejabat imigresen terus dibuka selepas 28 Februari.

Ini berikutan rungutan daripada majikan yang ingin memperbaharui permit menerusi kaunter.

Pada 5 Januari lalu, Jabatan Imigresen mengumumkan kaunternya akan ditutup dan pembaharuan permit perlu dilakukan secara dalam talian melalui perkhidmatan MyEG.

Tindakan itu menimbulkan bantahan pelbagai pihak apabila perkhidmatan dalam talian itu dikuatkuasakan selepas sebulan ia dilaksanakan.

Ahli perniagaan juga membantah caj RM38 yang dikenakan untuk pembaharuan permit pekerja asing setiap seorang menerusi MyEG.

Mereka berkata caj RM38 itu sepatutnya diserapkan di dalam bayaran proses pendaftaran sebanyak RM125.

Bayaran RM125 dikenakan kerajaan pada tahun lalu.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim mengesahkan bahawa kaunter PLKS akan terus dibuka.

Mustafa berkata, keputusan untuk terus membuka kaunter berkenaan selepas 28 Februari adalah sehingga pelan lebih komprehensif terhadap isu semasa berkaitan sistem dalam talian diselesaikan.

"Pada masa sama perkhidmatan memperbaharui PKLS menerusi sistem dalam talian dilaksanakan seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan.

Mustafa berkata, sistem dalam talian itu memasuki fasa pengujian rintis selama lima bulan bermula 1 Mac hingga 31 Julai depan.
Jabatan Imigresen, PLKS, MyEG

Artikel Sebelum

PM Kunjungi Medan Niaga Satok

Artikel Lain