suria

PM Kunjungi Medan Niaga Satok

Najib meluangkan masa singgah minum bersama ketua masyarakat Sarawak ketika membuat tinjauan mesra di Kubah Ria, Kuching pada Sabtu.- fotoBERNAMA
KUCHING: Ribuan pengunjung dan peniaga di Medan Niaga Satok di sini jelas cukup teruja pagi Sabtu dengan kehadiran pemimpin nombor satu negara Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjenguk urusan mereka sebelum menamatkan lawatan kerja tiga hari di Sarawak.

Di celah-celah kesibukan orang ramai membeli sayur-sayuran dan ikan di pasar besar dikenali sebagai kawasan Kubah Ria itu, Perdana Menteri diiringi Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu serta menteri-menteri kerajaan negeri, bersalaman mesra dan bertanya khabar kepada orang ramai dan peniaga.

Di medan selera pasar itu atau dikenali sebagai Benteng Medan Selera, Najib menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 20 daripada 170 mangsa banjir baru-baru ini, dari lima kampung sekitar sini.

Mereka merupakan penduduk sekitar Kampung Gita Laut, Kampung Gita Baru/Lama, Kampung Pinang Jawa, Kampung Tupong Jaya, dan Kampung Tupong Tengah di sini yang menjadi mangsa banjir serius baru-baru ini.

Najib dan rombongannya kemudiannya sempat menjamah makanan terkenal Sarawak seperti Mee Kolok, Laksa Sarawak, Kek lapis dan sebagainya sebagai sarapan sebelum beredar.

Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kemudiannya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk ke Labuan bagi lawatan kerja dan dijadual berlepas pulang ke ibu negara petang ini.
Najib Tun Razak, Pasar Satok

Artikel Lain