suria

Kedah Tidak Hasrat Laksana Catuan Air Buat Masa Ini - Exco

Badrol Hisham (tengah).

KUALA NERANG: Kerajaan negeri Kedah tidak berhasrat untuk melaksanakan catuan air buat masa ini memandangkan paras air di empangan utama di Kedah masih mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata walaupun musim kemarau dan panas dihadapi negeri sekarang, paras air diempangan utama di Kedah terutamanya empangan Ahning, Muda dan Pedu buat masa ini masih berada pada purata 90 peratus. 

Mengulas lanjut, Badrol berkata keadaan itu turut tidak mengganggu persiapan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk melepaskan air ke sawah, memandangkan pesawah dijangka memulakan proses penanaman padi penghujung Mac ini.  

Bagaimanapun beliau berkata bagi kawasan-kawasan yang mempunyai masalah air terutamanya di kawasan tinggi, pihaknya melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA) sedang dalam persiapan untuk menghantar bekalan air ke tempat tersebut. 

"Yang mempunyai masalah ini ialah kawasan (memerlukan) tekanan tinggi, bila banyak penggunaan air, jadi tekanan air rendah dan tak dapat ke tempat tinggi.

Tapi di musim kemarau ini, saya minta pihak SADA melipat gandakan  dari segi persiapan lori dan sebagainya untuk hantar air ke kawasan tersebut," katanya.  

Mengikut rekod pada Jumaat, paras air di empangan Muda ialah 160 meter yang mana paras minimumnya 96.7 meter, empangan Pedu 97.56 meter (paras minimum 82.30), empangan Ahning 113 meter (paras minimum 73.0 meter), empangan Beris 84.0 meter (paras minimum 68 meter) dan empangan Malut di Langkawi 76 meter (paras minimum 66.0 meter). 

Dalam perkembangan lain, Badrol yang juga Anggota Lembaga Pengarah SADA berkata beliau telah mengarahkan SADA untuk memberi penjelasan kepada pihak pembangkang berhubung isu caj pelarasan deposit yang dikenakan kepada pemegang akaun SADA di negeri ini. 

"Lepas itu kita bagi penerangan kepada pegawai kerajaan, JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung), pemimpin masyarakat agar tak ada yang salah faham lagi," katanya. 

Isu berkenaan, kata Badrol sebenarnya tidak berkait sama sekali dengan dakwaan pihak pembangkang iaitu kononnya SADA ingin mengaut keuntungan dan ingin menampung kelemahan kewangan kerajaan negeri. 

Bermula 1 Feb lalu, SADA mengenakan caj pelarasan deposit kepada 1.74 peratus pemegang akaun SADA, iaitu 9,401 pemegang akaun daripada jumlah 540,000 pemegang akaun di negeri ini, sama ada pengguna domestik dan bukan domestik yang dibayar setahun sekali. 

Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Adzmi Din sebelum ini menjelaskan ia merupakan pelarasan yang dibuat selaras dengan pewartaan kaedah-kaedah perkhidmatan air (Artikulasi Air dan Pemasangan Paip 2014) dan telah diluluskan oleh menteri bertanggungjawab, selain mendapat nasihat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain