suria

Luahan Bapa Mangsa Tembak Di Sungai Siput

Gambar hiasan.

IPOH: "Hari ini adalah hari lahir anak saya yang ke-28 tetapi dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya," demikian luahan bapa kepada N.Suren, 28, yang mati ditembak di rumahnya di Lorong Lapan, Taman Tun Sambanthan dekat Sungai Siput di sini, Jumaat malam. 

T. Nadarajah, 54, berkata ketika kejadian, anak sulung dari tiga beradik itu baharu sahaja selesai menyempurnakan upacara keagamaan di sebuah kuil berhampiran. 

Sebaik tiba di hadapan rumah, anaknya membuka pintu pagar sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal Honda EX5.  

Salah seorang suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dalam jarak kira-kira 10 meter. 

"Selepas terkena tembakan pertama, anak saya berlari sambil menjerit agar dia tidak ditembak namun tidak diendahkan suspek yang melepaskan beberapa das tembakan lagi. 

"Jeritan Suren didengari oleh sepupunya yang bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku, namun anak saya dilihat terbaring dalam keadaan sudah tidak bernyawa," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun pada Sabtu.  -

Nadarajah, anggota polis berpangkat koperal di Balai Polis Kanthan Baru dekat sini berkata, ketika kejadian dia sedang bertugas dan mengetahui mengenai kejadian itu daripada adik mangsa. 

"Saya menghantar Suren dan adiknya baru-baru ini untuk menghadiri temuduga kerja di Johor....malangnya hasratnya itu tidak kesampaian," katanya. 

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa mati akibat terkena empat das tembakan di bahagian lengan kiri, bahu kanan, pipi kiri serta belakang kepala. 

Hasil siasatan mendapati mangsa yang ketika itu menaiki kereta seorang diri dipercayai ditembak dengan beberapa das tembakan ketika turun dari kereta hendak masuk ke rumah. 

Polis menemui lima kelongsong peluru jenis 9mm dan dua butir peluru ditempat kejadian manakala dompet serta dua telefon bimbit milik mangsa masih berada dengannya.  

bapa mangsa tempak, N.Suren

Artikel Sebelum

Artikel Lain