suria

Bakar Kereta: Dr Hatta Nafi Ketua Pemuda PAS Pahang Dalang

Dr Hatta dilihat memandu kereta Toyota Alphard melintasi pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, minggu lalu.

KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli menafikan khabar angin bahawa Ketua Pemuda PAS Pahang, Fadli Ahmad yang mengadakan demonstrasi di luar Pejabat Agung parti itu minggu lalu sebagai dalang insiden kebakaran keretanya.

"Tak ada kaitan dengan Ketua Pemuda PAS (penyokong Presiden PAS). Saya tak nak buat sebarang spekulasi," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai di sini, Isnin.

Kereta pacuan empat roda milik Dr Hatta ditemui terbakar dihadapan rumahnya di Hulu Kelang pada awal pagi Sabtu.

Insiden tersebut didakwa dilakukan penyokong Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Minggu lalu, kumpulan penyokong presiden parti itu mendakwa Dr Hatta dan beberapa pemimpin PAS terlibat dalam satu konspirasi untuk menggulingkan Hadi.

Mengulas lanjut kejadian kebakaran itu, kata Dr Hatta, insiden yang merosakkan kereta pacuan empat rodanya itu masih dalam siasatan polis.

"Kes ini sedang disiasat polis. Beberapa pasukan polis yang terdiri daripada pasukan forensik dan unit anjing pengesan (K9) telah dihantar untuk melakukan siasatan.

"Saya yakin mereka akan lakukan siasatan yang terbaik berdasarkan penelitian melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV)... harap mereka boleh jumpa sesuatu dan tahan dalang kes tersebut," katanya.

Ketika ditanya mengenai keadaan kereta tersebut, Dr Hatta berkata, ia tidaklah terbakar teruk dan boleh digunakan semula dalam beberapa minggu lagi.

"Tidaklah terbakar teruk... boleh digunakan dalam beberapa minggu lagi. Jumpa anda di Permatang Pauh nanti (berkempen untuk PRK), " katanya dalam nada berseloroh.

Dr Hatta Ramli, Pemuda PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain