suria

Bersederhana Dalam Lahirkan Pandangan - Liow

Liow Tiong Lai.
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, terutama wakil rakyat, harus mengambil pendekatan sederhana dalam menangani isu dan bukannya mengamalkan pandangan ekstrem yang boleh menggugat ketidakharmonian dalam kalangan rakyat. 

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini berkata retorik politik di Malaysia kini, yang kelihatan menjurus kepada perkauman, sangat membimbangkan.

Ketika merasmikan forum bertajuk 'Matters of Moderation, Matters To Malaysia' di sini, beliau berkata, wacana masa kini, yang sepatutnya membincangkan bagaimana meningkatkan dan membantu satu sama lain, sebaliknya lebih tertumpu kepada perbezaan antara kaum.

"Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) mendukung kesepakatan yang mengambil kira pandangan semua kaum.

"Malangnya, terdapat unsur-unsur tidak diingini dalam masyarakat masa kini yang menggalakkan pandangan tidak sepakat dan bercanggah. "Apabila rakyat bersikap semakin ekstrem, pemimpin berdepan cabaran lebih besar untuk menyelesaikannya," katanya.

Forum sehari itu dianjurkan Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), iaitu sebuah kumpulan pemikir MCA.

Liow juga menggesa rakyat Malaysia supaya kembali kepada prinsip yang diamalkan nenek moyang mereka yang menjadi panduan dalam membentuk negara ini.

"Sejak Kemerdekaan, pengasas negara kita menetapkan hala tuju untuk diikuti kita semua dan ia sesuai untuk didukungi kita.

"Pada masa ini, dengan wacana politik dalam keadaan seperti itu, saya menyeru kita semua untuk sekali lagi mengambil jalan tengah dan menolak pandangan ekstrem walau daripada mana sekalipun. "Kesederhanaan ialah sebahagian daripada DNA kita. Kesederhanaan sepatutnya menjadi nadi gabungan yang menerajui negara sekarang," kata beliau.

Beliau berkata, walaupun MCA mewakili kaum Cina, pendekatannya bagi menangani isu-isu sentiasa mencerminkan pelbagai kaum.

"Kami adalah parti mewakili masyarakat Cina tetapi kami bukan parti cauvinis. Kami mengambil pendekatan pelbagai kaum dalam menangani isu-isu," jelas beliau. 

Artikel Sebelum

KWSP Umum Dividen 6.75 %

Artikel Berikut

Artikel Lain