suria

Peraturan Baru Mualaf: Kurup Sokong Cadangan MAINS

Joseph Kurup.
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup menyatakan sokongan kepada cadangan supaya seorang bukan Islam perlu membubarkan perkahwinannya yang terdahulu sebelum dibenarkan berdaftar sebagai mualaf di Negeri Sembilan.

Beliau berpendapat inisiatif berkenaan sangat berkesan dalam usaha mengelakkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan isu pertukaran agama dan hak jagaan demi kepentingan tertentu. 

Sokongan itu dinyatakan Kurup dalam ucapan beliau pada Majlis Penutup Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di sini hari ini. 


"Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan atas inisiatif dan cadangan jalan penyelesaian yang terbaik mengenai isu pertukaran agama ini. 

"Terutamanya mengenai masalah tuntutan penjagaan kanak-kanak antara ibu bapa atau penjaga mereka, khasnya antara Muslim dan bukan Muslim," katanya.

Kurup berkata, beliau melihat cadangan membenarkan seseorang memeluk Islam hanya selepas bercerai mampu melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa di dalam pertikaian hak jagaan agar kebajikan mereka terjamin dan terpelihara. 

"Justeru itu, saya ingin menyatakan sokongan terhadap cadangan ini," katanya lagi. 

Khamis lepas, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan cadangan peraturan baharu supaya seseorang bukan Islam perlu membubarkan perkahwinannya yang terdahulu sebelum dibenarkan berdaftar sebagai mualaf di Negeri Sembilan. 

Selain itu, mereka juga perlu membuat akuan berkanun yang menyatakan telah memeluk Islam.

Mohamad Hasan turut dilaporkan berkata dua perkara tersebut adalah antara cadangan peraturan baharu yang akan dikuatkuasakan berkaitan mualaf dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.

Mohamad, yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) turut dilaporkan berkata, peraturan baharu terhadap mualaf di negeri itu bertujuan menjaga kesucian Islam dan mempertahankan agama itu daripada dikutuk dan dihina hanya kerana perbuatan bersifat individu.

Artikel Lain