suria

Biar Polis Siasat Kes Tembak Rumah Adun Bawang Assan

Tan Sri Adenan Satem.
SIBU: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kejadian tembakan dilepaskan ke  kediaman Menteri Kewangan Kedua negeri Datuk Seri Wong Soon Koh awal pagi Jumaat.

Adenan yang ditemui pemberita selepas melawat Masjid Darul Halim di Kampung Bahagia Jaya, Teku di sini Sabtu, berkata Wong telah memaklumkan kejadian tersebut kepada beliau pagi ini. 

"Biar polis siasat, saya tak ada komen lanjut", katanya apabila diminta mengulas kejadian tersebut yang dilaporkan berlaku antara jam 5.20 dan 5.35 pagi di Jalan Ipoh di sini. 

Ketika kejadian itu, Wong berada di Kuching. 

Rumah Wong yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bawang Assan dan presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP), pernah menjadi sasaran tembakan pihak tidak dikenali pada 13 Ogos tahun lalu.

Ketika ditanya sama ada kejadian itu bermotifkan politik sepertimana yang didakwa, Adenan berkata, "Saya tidak tahu, saya tidak tahu, tunggu polis buat siasatan".

Terdahulu pada majlis itu yang turut dihadiri Menteri Muda Hal Ehwal Islam negeri Datuk Daud Abdul Rahman dan wakil rakyat Nangka Dr Annuar Rapaee, Ketua Menteri mengumumkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM2 juta bagi menampung pembinaan masjid baharu di kampung itu yang dianggarkan bernilai RM4 juta.

Adenan berkata, peruntukan itu akan disalurkan ke Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dalam tempoh terdekat sebelum disalurkan kepada jawatankuasa pembinaan masjid baharu itu. 

Katanya, TBS juga akan menyalurkan peruntukan RM1 juta manakala kos selebihnya akan diusahakan oleh jawatankuasa tersebut.
Masjid baharu itu yang akan dibina tahun ini dijangka siap dalam tempoh satu tahun setengah dengan kapasiti kira-kira 1,500 jemaah.

kes tembak, Adun Bawang Assan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain