suria

Jangan Terpengaruh Pihak Cuba Timbul Kegusaran Agama - Jamil Khir

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua, kiri) mencuba saiz baju kepada Zurin Harmiza Azmi, 11, (tengah) pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan di Pusat Khidmat Anggota Parlimen Jerai di Guar Chempedak. --fotoBERNAMA
JERAI: Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak terpengaruh dengan pihak yang cuba menimbulkan 'kegusaran agama' dengan mempolemikkan isu tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, umat Islam seharusnya berpandukan kepada sumber yang betul misalnya Majlis Fatwa Kebangsaan dan bukannya kepada pegangan seseorang individu.

"Jangan timbul fitnah yang akan sebabkan sesama umat Islam berpecah, ini membawa kepada permusuhan dan kebencian yang dilarang dalam Islam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada 100 pelajar kawasan Parlimen Jerai di Guar Chempedak di sini hari ini.

Jelasnya isu kalungan bunga dan pakaian kurta yang dipakai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sambutan Thaipusam Selasa lepas sepatutnya tidak timbul memandangkan ia berkaitan dengan tradisi kaum India.

Anggota Parlimen Jerai itu berkata, sesetengah pihak seolah-olah cuba menimbulkan ketegangan dengan mengungkit isu yang sama setiap tahun sedangkan penjelasan yang sebenar telahpun diberi.

"Kurta ialah pakaian tradisi, ia tiada kaitan dengan konsep pengibadatan dan ataupun konteks ajaran agama.

"Kalungan bunga pula ialah cara penghormatan kaum India kepada tetamu yang mereka pilih, semua majlis mereka kalung bunga, tapi masyarakat kena faham batas agama lah, majlis fatwa tidak pernah bangkitkan larangan ini," kata Jamil Khir.

Selasa lepas Najib meluangkan masa menyaksikan perayaan Thaipusam ke-125 tahun di Kuil Subramaniyar Swamy di Batu Caves, Kuala Lumpur dan sebagai menghormati majlis, beliau berpakaian tradisional India, Kurta.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan kenyataan bahawa kehadiran Najib pada majlis itu tidak menyalahi syarak, berpandukan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 12 April 2005. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain