Polis Akan Panggil Gobalakrishnan Bantu Siasatan Dakwaan Burukkan PDRM - Semasa | mStar

Polis Akan Panggil Gobalakrishnan Bantu Siasatan Dakwaan Burukkan PDRM

N.Gobalakrishnan
N. Gobalakrishnan.
KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil bekas anggota  Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya dalam akaun twitter miliknya semalam yang didakwa memburuk-burukkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi status akaun twitternya hari ini menyifatkan kenyataan itu sebagai satu tohmahan yang serius kepada pasukan polis dan pihaknya akan melakukan siasatan terhadap perkara tersebut.

"Ini satu tohmahan yang serius terhadap @PDRMsia Pg. Kita akan siasat. @Ngobalakrishnan akan dipanggil bantu siasatan," katanya.

Gobalakrishnan menerusi akaun twitter 'Ngobalakrishnan' mendakwa terdapat anggota polis berbangsa India di Pulau Pinang yang melindungi Geng 04 melakukan aktiviti pengedaran dadah.

"Terdapat beberapa pegawai polis India di Pulau Pinang memberi perlindungan kepada Geng 04 yang terlibat dalam kegiatan mengedar dadah," katanya dalam  laman twitternya yang dikemas kini kira-kira 5.29 pagi semalam.

Geng 04 adalah antara 46 kumpulan kongsi gelap yang aktif dan bahaya di negara ini yang terlibat dalam aktviti pengedaran dadah dan beberapa jenayah berbahaya membabitkan penggunaan senjata api dan senjata tajam di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan juga Kuala Lumpur.

Kumpulan Geng 04 yang turut dikenali sebagai Tiram Sasi di Johor, Sungai Way Sugu (KL), Green Line Samy (Pulau Pinang), Prai Bala (Pulau Pinang), Langkap Sasi (Perak), Selvam (Batu Gajah), Ragu (Ayer Tawar) dan Sudha (Sitiawan). 

Sementara itu, Gobalakrishnan yang dihubungi Bernama mengesahkan akaun twitter 'Ngobalakrishnan' miliknya namun enggan mengulas lanjut perkara tersebut.
"Memang benar saya ada 'tweet' perkara tersebut dan mungkin akan dipanggil (polis)," katanya.

Gobalakrishnan , burukkan PDRM

Artikel Sebelum

Pasar Tani Turun Harga 73 Barang Keperluan

Artikel Berikut

Lebih Artikel