suria

PDRM Pantau Mereka Disyaki Sertai Militan IS Di Negara Ini

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta sempena majlis perasmian Penutup Program 'Round Table Discussion' Dasar Keselamatan Dalam Negeri di Port Dickson pada Sabtu. Turut serta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim (kiri) dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. --fotoBERNAMA
PORT DICKSON: Polis Diraja Malaysia (PDRM) senantiasa memantau mereka yang disyaki menyertai kumpulan militan IS di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, PDRM memantau pergerakan mereka bukan sahaja dalam soal pengambilan anggota malah dalam soal pembiayaan dan pengumpulan dana.

"Dalam perkara ini kami menjalin kerjasama dengan negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Singapura dan Myanmar dengan koordinasi dilakukan oleh Ketua Polis Negara.

"Langkah ini diambil untuk melihat rantau ASEAN ini bukan sahaja selamat, tetapi tidak menghantar bakal-bakal pengganas ini ke negara-negara (Syria dan Iraq) yang dipanggil sebagai 'sarang' keganasan", katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup program perbincangan meja bulat dasar keselamatan dalam negeri di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ahmad Zahid berkata, PDRM turut memantau apa juga rangkaian antara mereka yang disyaki terlibat di dalam media sosial termasuk pengambilan dan penghantaran mereka ke Syria dan Iraq.

"Apa juga yang mereka siarkan atau mereka cuba lakukan melalui media sosial kita pantau, jejak dan menangkap mereka yang terlibat," katanya.

Berhubung mereka yang terlibat dengan IS kononnya untuk berjihad, beliau berkata apabila pihak polis dapat menangkap mereka yang pernah kononnya 'berjuang' ini, kebanyakan mereka menyesali perbuatan itu kerana 'indah khabar daripada rupa'.

"Tidak ada jalan singkat untuk ke syurga. Sebenarnya perbuatan mereka ini (kononnya berjihad) adalah satu kesilapan manakala aspek lain pula ialah apabila kami tidak lakukan penangkapan atau kami tidak lakukan pencegahan maka kami bimbang mereka akan melakukan perkara yang sama di negara kita. Mereka akan mengganggu keselamatan dan kesejahteraan di negara kita.

"Kami tidak boleh bertolak ansur. Saya tidak mahu ada agama lain melihat bahawa inilah Islam. Sebenarnya Islam tidak mengajar begitu ... keutamaan kami ialah menjaga keselamatan semua rakyat negara kita," katanya.

Katanya, ancaman IS adalah benar dan sebab itulah kementeriannya mengambil langkah pencegahan dan pembanterasan ini secara serius bagi membendung kegiatan IS di negara ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN Bagi Jenayah Merentas Sempadan (AMMTC) di Kuala Lumpur pada hujung September depan.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata dasar keselamatan dalam negeri itu digubal oleh kementeriannya melalui Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN).

Katanya penggubalan dasar itu yang diadakan dengan kerjasama ahli akademik dan pemikir negara merupakan satu daripada transformasi yang dilaksanakan kementerian.
militan IS, polis, pantau

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain