suria

Permohonan MyEG Perlu Ada ‘Persetujuan Rasmi’ - Mama

PETALING JAYA: Proses memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) melalui sistem dalam talian MyEG Service Bhd (MyEG) perlu dilengkapkan dengan ‘persetujuan rasmi’ antara majikan dan pembantu rumah.

Langkah itu wajar dilaksanakan bagi memastikan pembantu rumah itu sedia menyambung khidmat dengan majikan tanpa sebarang paksaan.

Perkara itu diketengahkan Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) yang juga turut senada dengan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap) berhubung kemungkinan proses menerusi MyEG itu boleh menimbulkan masalah pembantu rumah ‘hilang’ kerana majikan boleh mengemukakan permohonan dengan sewenang-wenangnya tanpa pengetahuan dan kerelaaan pembantu rumah terbabit.

Presiden Mama, Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata, beliau menyedari dan memahami tentang sistem dalam talian MyEG antara lain bertujuan untuk memudahkan majikan memperbaharui permit pekerja asing masing-masing.

“Tetapi harus diingat, kemudahan ini juga perlu memastikan hak pembantu rumah dijaga dan mengelakkan insiden mereka dianiaya majikan. Kita tidak mahu insiden pembantu rumah ‘hilang’ mencalar imej majikan di Malaysia.

“Oleh itu, sistem baharu ini perlu ada persetujuan ‘rasmi’ pembantu rumah sebagai bukti mereka dengan rela hati mahu meneruskan khidmat bersama majikan berkenaan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Pikap dalam laporan mStar Online pada Jumaat lalu mendedahkan masalah pembantu rumah ‘hilang’ boleh berlaku jika kaedah sistem dalam talian itu dilaksanakan, malahan ia turut  mempersoalkan jaminan perlindungan dan keselamatan menerusi sistem itu jika majikan boleh memperbaharui PLKS tanpa kerelaan dan pengetahuan pembantu rumah.

Presiden Pikap, Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata, sebelum pelaksanaan sistem MyEG telahpun berlaku kes pembantu rumah dipaksa bekerja tanpa kerelaan, malah wujud unsur eksploitasi seperti majikan ‘menjual’ pembantu rumah kepada pihak lain dan mengarahkan mereka melakukan tugas lain.

Sehubungan itu, Engku Ahmad Fauzi menyarankan penggunaan kod tertentu seperti kata laluan yang mewakili setiap pembantu rumah sebagai bukti mereka bersetuju dan rela hati meneruskan khidmat dengan majikan berkenaan.

Selain itu katanya, setiap permohonan juga perlu mempunyai pautan sebagai maklumat atau rujukan kepada agensi yang menawarkan pekerja terbabit.

“Majikan mengambil pembantu rumah daripada agensi pekerja asing. Jadi, bila majikan memperbaharui permit melalui sistem MyEG, maka perlu ada ‘pautan’ setiap permohonan itu dengan agensi berkenaan supaya agensi tersebut tahu apa yang berlaku kepada pembantu rumah yang mereka tawarkan kepada majikan terbabit. Jadi tidak timbul soal pembantu rumah ‘hilang’ kerana ada rekod di pihak agensi,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Imigresen dan MyEG perlu memberi penjelasan kepada wakil majikan memandangkan sistem baharu yang mula dikuat kuasakan pada 5 Januari lalu masih tidak jelas sehingga menimbulkan rungutan di kalangan majikan selain banyak isu dan masalah yang berbangkit.

Tambahnya, setiap penyelesaian diharapkan dapat memastikan sistem dalam talian ini tidak membebankan majikan dan memberi jaminan perlindungan dan hak kepada pekerja asing terutama pembantu rumah.

"Jika permohonan PLKS MyEG  tidak dilengkapkan dengan ‘persetujuan rasmi’ pembantu rumah dan pautan dengan agensi pekerja asing, maka MyEG perlu berbuat sesuatu untuk menambah baik perkhidmatan itu.

“Jika memang ada persetujuan itu maka MyEG dan Jabatan Imigresen perlu memberi penerangan mengenainya supaya semua pihak lebih jelas dan faham tentang proses permohonan baharu ini,” katanya.

Artikel Lain