suria

Peniaga Bingung Dengan Tuntutan GST, MyEG

Ei Kim Hock.
KUALA LUMPUR: Kebanyakan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapati mereka dibebani dengan tuntutan baharu menerusi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan pembaharuan permit kerja melalui MyEG dengan kedua-duanya memerlukan mereka celik komputer.

Ramai diantara mereka berkata tidak mahir dalam menggunakan komputer dan tidak mempunyai masa dan dana yang mencukupi untuk menyelesaikan tuntutan tersebut dalam tempoh masa yang diberikan kepada mereka.

Ketua Biro PKS MCA, Datuk Ei Kim Hock bersetuju bahawa komputer lebih mudah dan akan membantu dalam menjimatkan masa tetapi pihak berkepentingan tiada masa mencukupi untuk mempelajarinya.

"Beri mereka masa untuk menggunakan prosedur tanpa kertas ini," katanya.

Ei berkata walaupun menggaji seorang kerani untuk menyelesaikan prosedur itu akan menjadi beban kepada pengusaha PKS.

Katanya, mereka turut mengadu bahawa kekurangan dana untuk mewujudkan prosedur patuh GST.

"Kebanyakan peniaga PKS turut menjangka bakal berdepan masalah dengan kekurangan modal apabila GST dilaksanakan kerana mereka menyediakan kemudahan kredit kepada klien tetapi perlu menghantar cukai kepada kerajaan setiap bulan," katanya.

Beliau menggesa kerajaan untuk memberikan lanjutan tempoh masa kepada peniaga PKS untuk menyerahkan cukai tersebut.

Ei berkata turut menentang caj tambahan sebanyak RM38 yang dikenakan oleh portal MyEG untuk proses pembaharuan permit pekerja asing.

"Ia satu jumlah wang yang besar kepada mereka yang menggaji berpuluh atau beratus pekerja. Mereka lebih gemar melakukannya di kaunter Jabatan Imigresen," katanya.

Beliau berkata selain prosedur secara dalam talian, peniaga PKS berharap kerajaan akan menyediakan lebih banyak jalan kepada mereka untuk memperbaharui permit pekerja asing.

Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) berkata mereka akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri pada minggu depan bagi membantah tindakan MyEG.

Presidennya, Tan Sri K.K. Eswaran berkata pihaknya akan bertemu pada 30 Januari ini untuk meluluskan memorandum bantahan caj tambahan sebanyak RM38.

"Kami menolak sekeras-kerasnya maklumat data peribadi disalurkan kepada CTOS yang juga syarikat swasta.

"Kerajaan tidak sepatutnya menutup kaunter Imigresen dan memaksa sesiapa sahaja untuk menggunakan perkhidmatan MyEG untuk memohon secara dalam talian.

"Walaupun dengan adanya Lebuhraya Utara-Selatan, jalan lama masih ada. Begitu juga, kaunter tersebut perlu dibuka," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Mohd Nizam Mahshar berkata, caj tambahan sebanyak RM38 amat tinggi.

"Tapi kita harus melihat isu yang lebih luas.

"Sektor pekerja asing menjadi industri besar, menafikan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dalam jangka masa panjang.

"Ia turut menyumbang kepada aliran keluar ringgit dan ekonomi tempatan secara besar-besaran," katanya.

MyEG, GTS, peniaga PKS

Artikel Sebelum

Artikel Lain