suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

28 Individu Ditahan Dalam 'Operasi Bersama Khas' Enam Agensi

'Operasi Bersama Khas' bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Genting Highlands pada Ahad. Foto AZLINA ABDULLAH / THE STAR

GENTING HIGHLANDS: Sebanyak 28 individu ditahan dengan 13 daripada mereka dipercayai positif dadah dalam tempoh dua hari 'Operasi Bersama Khas' bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Genting Highlands bermula Sabtu.

Dalam operasi sekatan jalan raya itu, polis turut menahan 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dan empat individu pemegang pas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang disyaki palsu serta seorang individu yang mengeluarkan kata-kata kesat ketika ditahan untuk pemeriksaan.

Pegawai Turus Trafik Bukit Aman, Supt Bon Jeen Ahrom berkata, operasi itu dijalankan di empat lokasi iaitu di bulatan Genting Sempah, susur Gombak menghala ke Genting Highlands, susur Batang Kali dan Terminal Bas Genting Highlands.

"Operasi ini melibatkan 163 pegawai dan anggota dari Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Alam Sekitar, Puspakom, Agensi Antidadah Kebangsaan dan polis bantuan Genting Highlands.

"Hasil operasi dua hari bermula 8 pagi hingga 5 petang ini, sebanyak 2,227 kenderaan diperiksa, 867 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, 216 individu menjalani ujian saringan air kencing dan 13 daripada mereka didapati positif dadah," katanya kepada pemberita dalam operasi di Gohtong Jaya, dekat sini.

Beliau berkata, saman yang dikeluarkan kebanyakannya atas kesalahan lampu brek serta lampu brek ketiga kenderaan yang tidak berfungsi. 

"Saya ingin beri nasihat kepada pengguna jalan raya untuk mematuhi semua peraturan jalan raya dan pastikan kenderaan dalam keadaan baik serta pastikan lampu brek dan lampu brek ketiga sentiasa dalam keadaan berfungsi. 

"Operasi ini akan dijalankan secara berterusan kerana kita percaya operasi seperti ini dapat membantu mengurangkan kemalangan jalan raya khususnya di Genting Highlands," katanya.

Artikel Lain