suria

Pengkritik Ketika Bencana Lebih Sudu Daripada Kuah

SETIAP kali negara dilanda bencana, pasti ada pengkritik yang akan mencemuh usaha pihak berkuasa dengan menyatakan pihak tersebut tidak bijak menangani musibah itu.

“Pengkritik kerusi sandar” ini tidak pernah turun ke lokasi bencana untuk membantu ratusan sukarelawan yang bekerja dari pagi hingga pagi keesokannya untuk memberi keselesaan dan kesenangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Mereka mencaci dan mengejek pihak pemerintah bila pesawat MH370 ghaib dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Mac 2014, begitu juga tatkala MH17 ditembak jatuh semasa merentasi ruang udara Ukraine di Julai tahun lalu.

Sekali lagi mereka menabur fitnah dan tohmahan semasa kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands pada Disember dan ketika banjir besar meranapkan kediaman, jalanraya dan kemudahan awam pada bulan yang sama di beberapa negeri; khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Ramai nyawa diragut dan ratusan ribu insan hilang tempat tinggal dan sumber pencarian tatkala tirai menutup senario kepiluan 2014.

Semasa krisis banjir melanda di pantai timur Semenanjung, pengkritik menggunakan media social dan laman sesawang untuk membidas pihak pemerintah, menuduh ia gagal menguruskan bencana yang berlaku.

Komen-komen yang bersifat dayus itu membayangkan betapa ceteknya kefahaman mereka mengenai perihal bencana alam dan cara pentadbir negara mengendalikan sesuatu musibah, sama ada  sebelum, semasa dan selepas ia berkalu.

Adakah pengkritik ini berupaya membuat sesuatu untuk menyelamatakan ahli keluarga, rakan-rakan dan mata pencarian mereka sekiranya berlaku tsunami, taufan, ribut atau banjir pada hari esok?

Bolehkah mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa dengan cuma bergantung kepada mutiara kata mereka yang memperkecilkan usaha-usaha pihak berkuasa?

DEMI MENDAPAT ‘POLITICAL POINTS’

Kemugkinan besar, pengkritik ini, kerana sifat mereka yang sedemikian rupa, tidak akan mengucapkan terima kasih kepada sesiapa yang membantu mereka; malah akan merungut sama ada diberi layanan istimewa atau sebaliknya.

Sama seperti pengkritik kerusi sandar, mereka ini ialah kumpulan-kumpulan sosial dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dikatakan mengedar secara rambang barangan keperluan tanpa mengambil kira usaha-usaha terancang oleh petugas-petugas rasmi.

Mereka, termasuk aktivis-aktivis politik, membuat lawatan secara rawak untuk semata-mata mendapat “political points” dan  menunjukkan kepada pengikut-pengikut Facebook bahawa mereka “telah pergi ke sana” untuk membantu mangsa.

Seperti dilaporkan akhbar The Star pada Januari 7 lalu, kumpulan yang berlainan akan berkunjung ke kampung yang lebih awal dikunjungi pihak lain untuk mengagihkan sumbangan tetapi tidak dengan cara teratur.

“Misalnya, semasa kami mengunjung Kuala Krai, dapat dilihat  pelbagai barangan bantuan ditaburkan di tepi jalan kerana banyak kumpulan memberi bekalan yang berlimpah ke  kampung yang sama,” Naib Pengerusi dan Ketua Pengurusan Bencana Persatuan Sabit Merah Malaysia, Dr Bahari Abu Mansor memberitahu akhbar itu.

“Pihak NGO sendiri perlu diberi panduan dan latihan mengenai struktur pengurusan bencana dan cara sistematik bagi mengagihkan barangan bantuan kepada mangsa,” beliau dilaporkan berkata.

Pendekatan mereka tidak mempunyai strategi untuk membendung bencana yang menyeluruh, tiada rancangan baik pulih yang terperinci dan tiada pasukan bencana yang cekap untuk melaksanakan kedua-dua usaha itu.

Penulis mengakui bukan seorang pakar dalam mengesan dan membanteras bencana. Ingin dijelaskan, artikel ini bertujuan memberi kefahaman mengenai pengurusan bencana dari kacamata seorang wartawan kerdil yang mula memfailkan laporan banjir dari Pulau Pinang di awal 1970an.

Ketua polis negeri ketika itu Datuk Tan Ghim Kheng, yang bersara pada 1975 sebagai pengarah keselamatan dalam negara dan ketenteraman awam selepas berkhidmat dengan pasukan Polis Diraja Malaysia selama 35 tahun, merupakan tokoh yang pertama memberi pencerahan kepada penulis mengenai selok belok dan tugasan pasukan bencana.

Apa yang penulis harapkan ialah pembaca dapat melihat bahawa selain kemusnahan infrastruktur dan perkakasan, pegawai kerajaan dan sukarelawan terpaksa juga berdepan dengan mangsa yang hilang mata pencarian, sumber-sumber yang terhad serta kehilangan wang simpanan; kesemuanya boleh melumpuhkan masa depan sesebuah kampung, negeri, malah negara.

Sememangnya, setiap tahun pantai timur dihentam banjir seiring kedatangan musim tengkujuh. Namun kejadian kali ini amat luar biasa kerana ia meranapkan harta benda dan kemudahan awam umpama dilanda gempa bumi yang dahsyat.

PERANAN BADAN BERTINDAK

Penyebab banjir pada musim ini dikatakan kerana naiknya permukaan air laut melebihi permukaan tanah, kurang berfungsi penyaliran dan peparitan, turunnya permukaan tanah dari bukit bukau, hutan yang dibogelkan dan tabiat manusia membuang sampah secara sewenang-wenang.

Sebelum menubuhkan strategi organisasi untuk mengendalikan sesesuatu bencana, badan bertindak akan terlebih dulu mengenalpasti siapa yang boleh diharap untuk melibatkan diri dalam proses penyelamatan, penempatan dan pembaikansemula.

Apa yang penting ialah; mereka yang merancang strategi menyeluruh, peranan semua pihak dalam usaha membaiki pulih dan tindakan selepas bencana.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku pemimpin Majlis Keselamatan Negara,  bertindak sebagai “pengurus pembaikan pulih” bila negara dilanda bencana alam.

Muhyiddn dapat mentadbir strategi, mengatur perkara-perkara yang harus diberi keutamaan dan mengurusan hal ehwal penempatan semula kerana beliau mempunyai pengetahuan mengenai program-program bantuan bencana di peringkat negara dan negeri, malahan beliau juga mengetahui kemampuan kewangan negara apabila sesuatu bencana berlaku dan selepas itu.

Amat menguntungkan kerana TPM mepunyai skil pengurusan serta  rundingancara dan komunikasi yang baik kerana beliau juga bertindak sebagai titik kontak yang rasmi bagi kesemua kementerian, agensi dan jawatankuasa-jawatankuasa bertindak yang berkenaan.

Pihak penulis percaya beliau acapkali dipanggil untuk menyelesaikan sebarang persengketaan dalaman yang berlaku dan berunding dengan pihak-pihak yang degil dan tidak mahu berpindah dari kediaman mereka yang dirosakkan air bah atas sebab-sebab tertentu.

Seseorang menteri besar atau ketua mentri memikul peranan “ketua penyelaras bantuan bencana” dan terlibat secara langsung dalam pengurusan harian dan koordinasi dengan pihak-pihak yang tertentu di negeri mereka.

Badan pengurusan bencana negeri masing-masing mempunyai jawatankuasa-jawatankuasa kecil bagi mengawasi pengagihan makanan, pengedaran bahan keperluan bukan makanan, bantuan kewangan, bantuan perubatan, urusan kerja logistik dan perhubungan media, untuk memberi maklumat tepat dan terkini kepada orang awam mengenai persetujuan atau keputusan yang dibuat dengan pasukan-pasukan menyelamat dan membaikpulih.

Di negeri Kelantan, yang diterajui oleh PAS, jawatankuasa bantuan bencana negeri di ketuai bersama oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan anggota Kabinet, Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi mempastikan kerja membanteras krisis banjir di sana berjalan licin.

Pegawai-pegawai utama di setiap jabatan dan agensi kerajaan dikerahkan membantu jawatankuasa pusat dan negeri untuk mengenalpasti langkah-langkah yang perlu; seperti penggunaan dana, menangani birokrasi, bekerjasama dengan badan-badan kewangan dan guaman serta mengendalikan isu berbangkit.

Wakil-wakil kementerian dan jabatan kerajaan punyai tugas berinteraksi dengan pihak kontraktor, pembekal dan di mana perlu, dengan pihak jurutera dan arkitek projek, untuk mendapatkan bukti sah mengenai sesuatu kerosakan.

Tujuannya ialah untuk membina semula kemudahan awam serta merangka reka bentuk dan sumber baharu bagi menggantikan yang rosak Tetapi tidak dinafikan, ramai yang terus mengkritik Majlis Keselamatan Negara tanpa mengetahui cara ia befungsi dan menuduh badan ini bersikap tidak aktif bukan proaktif.

BERTUGAS WALAUPUN DIHERDIK

Pengkritik-pengkritik dayus ini sepatutnya membuka mata dengan luas dan melihat betapa tekun majlis ini bertugas, bersama badan-badan negeri yang berkaitan, dan terus bertindak untuk mengaturkan langkah baikpulih sebaik saja sesuatu bencana berlaku.

Walaupun ditentang dan diherdik, pasukan bencana alam ini  bertugas dari pagi hingga ke pagi esoknya semata-mata untuk memberi kelegaan dan kesenangan kepada mangsa yang terpaksa tinggal rumah mereka; untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap, memantau kemungkinan bencana berulang dan memerhati air pasang.

Sesungguhnya , bencana  alam adalah sesuatu kejadian yang menyebabkan gangguan kepada aktiviti masyarakat dan urusan negara. Ia melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, kerugian ekonomi dan kemusnahan alam sekitar yang melampaui kemampuan masyarakat untuk mengatasinya dan memerlukan tindakan penggembelingan  sumber yang luas.

Kerja dan tugasan membaikpulih meliputi pelbagai komponen yang mesti bekerjasama di antara satu dengan lain untuk mencapai matlamat; iaitu pembaik pulih yang berjaya.

Paling utama, tanggungjawab mencari penyelesaian bukan di pihak pemerintah saja. Kita, sebagai warga Malaysia perlu memikul juga sebahagian bebannya, bukan sekadar menjadi 'pengkritik kerusi sandar'.



Artikel Lain