suria

Rakyat Kelantan Masih Kuat Semangat, Berjiwa Besar

Wan Roslan wan Hussein (dua, kiri), 53 bersama anaknya lelakinya Wan Mohd Yusof Wan Roslan, 29, (kiri) dan menantunya Nurul Fadhilah Md Daud, 24, serta cucu-cucunya sedang makan mi segera sebagai makan tengahari di dalam khemah selepas rumah mereka runtuh akibat banjir. -foto THE STAR/Art Chen
KUALA KRAI telah diselaputi debu tebal yang disebabkan oleh kenderaan yang bergerak melalui jalan-jalan yang dipenuhi lumpur.

Pada mulanya hidung saya amat jengkel dengan keadaan itu, namun tidak lama kemudian perasaan itu mula bertukar kepada perasaan sebak yang tidak dapat ditahan.

Saya terpaksa kuatkan semangat, bergantung pada baju untuk menyapu muka. Tugasan saya adalah untuk melaporkan mengenai keadaan di Kelantan selepas banjir paling buruk melanda negeri-negeri pantai timur.

Bangunan-bangunan di Kota Baru basah dan berlumuran lumpur. Selebihnya, ia kelihatan berfungsi seperti biasa, seperti bandar-bandar lain di Malaysia.



Jadi saya menganggap bahawa seluruh Kelantan telah pulih dan rakyatnya telah kembali menjalani kehidupan mereka seperti biasa.

Bagaimana tanggapan saya meleset. Ketika kami memandu ke Kuala Krai, daerah yang paling teruk dilanda banjir di negeri ini, lumpur yang menyelaputi jalan-jalan dan bangunan dapat dilihat di merata tempat.

Kesan lumpur pada daun di pokok dan kerusi, kanvas, malah pada tayar yang tergantung di wayar telefon membuktikan bahawa seluruh bandar itu pernah berada di bawah air.

Berdiri di belakang sebuah trak pikap, saya melihat timbunan berpuluh-puluh rumah yang musnah akibat banjir. Banyak telah runtuh dan ada yang dihanyutkan ke dalam sungai berhampiran.



Sebuah rumah kayu dapat dilihat runtuh keseluruhannya, hanya tinggal bahagian bilik air yang diperbuat daripada konkrit.

Di tengah-tengah kehancuran itu, saya terkejut melihat rakyat Kelantan tetap berjiwa besar.

Ketika lalu di sebuah rumah yang penuh dengan sampah dan pagar batunya runtuh, saya mengangguk kepala kepada seorang lelaki tua hanya memakai kain sarung yang saya anggap dia merupakan pemilik rumah. Dia melambai dan melemparkan senyuman lebar. Saya terkejut.

Saya bercakap dengan Wan Roslan Wan Hussein, 53, yang bersalaman dengan saya dan mengucapkan terima kasih kepada saya kerana mengetengahkan nasibnya.

Gambarnya bersama rumahnya yang runtuh telah disiarkan dalam beberapa media, termasuk The Star.

Sambil tersenyum dia berkata: "Kita perlukan bantuan media untuk memberitahu kisah kami, supaya kerajaan memahami dan boleh memberikan kediaman kekal kepada kami."



Pemilik kedai perkakas Chua Seong Hen, 52, yang juga merupakan pengiring kami menawarkan bahagian ruang tamunya untuk bermalam.

Saya berkesempatan bercakap dengan beberapa orang rakan perniagaannya.

Pemilik kilang papan Kang Soon Ong, 55, memberitahu kepada kami, bagaimana dia pernah mempersendakan gambar kawasan yang banjir.

"Saya memberitahu semua orang bahawa saya telah menjalankan perniagaan di sini selama 37 tahun dan kilang saya tidak pernah dilanda banjir," katanya.

Namun, keesokan pagi, Kang terkejut melihat air banjir hampir menyentuh siling kilangnya.

Ibunya tidak mampu menahan perasan hiba, sambil berkata keringat dan hasil titik peluh keluarga selama 40 tahun telah lenyap dihanyut banjir.

"Lebih daripada 90 peratus daripada perniagaan di Kuala Krai mengalami kerugian besar akibat banjir. Ia akan memakan masa sebelum bandar ini dapat pulih sepenuhnya, " kata Kang.

Sambil memujuk ibunya, dia berkata kepada saya: "Semua ahli keluarga selamat, itulah yang paling penting."

Tugasan selama tiga hari membuatkan perasaan saya bercampur baur antara keghairahan dihantar untuk bertugas, perasaan simpati dan penghormatan terhadap mangsa dan akhirnya, lega dapat kembali ke Petaling Jaya.

Apa yang paling memberi pengajaran kepada saya adalah kita harus bersyukur kita kerana dapat menghirup udara segar, dapat bersama-sama dengan orang yang tersayang dan masih mempunyai bumbung yang kukuh di atas kepala kita.


Artikel Sebelum

Artikel Lain