suria

Bekas Komando ATM Ditahan Terlibat IS

PETALING JAYA: Bekas komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan antara tahanan terbaharu suspek yang terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Rakyat Malaysia berusia 29 tahun itu pernah berkhidmat selama 10 tahun di Kem Sungai Udang, Melaka.

Sebagai askar komando dia adalah seorang pakar bom, bijak mengendalikan senjata api dan dilatih untuk terus hidup dalam keadaan yang paling buruk.

Tetapi selepas meninggalkan ATM kira-kira 18 bulan lalu, dia menggunakan kebolehannya dengan cara yang salah iaitu terlibat dalam aktiviti keganasan.

Dia yang berasal dari Perak adalah antara 135 militan yang ditahan pihak berkuasa Arab Saudi di Riyadh pada 28 Disember lalu.

Bekas komando itu ditangkap bersama-sama anggota pengganas lain di sempadan Saudi-Jordan.

Ramai daripada mereka yang ditangkap telah pergi ke "zon konflik bagi menyertai kumpulan pelampau dan dilatih dalam pengendalian senjata sebelum kembali ke Arab Saudi untuk menjejaskan kestabilan negara ini," demikian lapor The Daily Star di Lubnan.

Sumber berkata, lelaki warga Malaysia itu ditahan bersama-sama bendera IS dalam simpanannya.

"Pihak berkuasa percaya bahawa dia telah terlibat dengan kumpulan pengganas sejak sekian lama," kata sumber itu kepada The Star pada Khamis.

Selepas menamatkan perkhidmatan dari tentera pada Julai 2013, dia bersama bapanya menunaikan umrah pada Disember tahun yang sama.

Bagaimanapun segalanya bermula apabila bapanya gagal mengesannya pada 18 Disember sebelum pulang ke Malaysia.

"Bapanya bingung dengan kehilangan anak lelakinya itu. Bagaimanapun dengan berat hati bapanya pulang ke Malaysia selepas dia tidak dapat dihubungi.

"Bapanya membuat laporan polis berhubung kehilangan itu," dedah sumber berkenaan.

Walaupun pada mulanya terkejut dengan kehilangan anaknya, pihak berkuasa berkata petani itu mengesyaki bahawa anaknya mungkin terlibat dengan kumpulan militan.

"Selepas berhenti daripada tentera, suspek mula menghadiri majlis usrah (sesi dakwah) di Perak. Dia juga mula menderma kepada pergerakan 'jihad' di Malaysia," kata sumber itu.

Difahamkan bahawa pihak berkuasa Malaysia telah menghubungi rakan-rakannya di Arab bagi mendapatkan maklumat mengenai status suspek.

Di Jeddah, sumber yang rapat dengan pejabat konsulat Malaysia berkata, Konsulat Besar Malaysia sedang menyiasat perkara itu dengan pihak berkuasa lain yang berkenaan.

Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman juga meningkatkan operasi terhadap rakyat Malaysia yang terlibat dengan IS.

Sejak Februari 2013, seramai 51 orang telah ditangkap di sini.

Militan, Negara Islam (IS)

Artikel Lain