suria

Bila Keputusan Penghakiman Kes Liwat 2?

Datuk Seri Anwar Ibrahim dikerumuni wartawan ketika masuk ke ruang mahkamah ketika pendengaran rayuan terakhir kes liwat 2 di Istana Kehakiman di Putrajaya, Oktober lalu. Pada 7 Mac lalu, Anwar didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan. -fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Kedua-dua pihak, dalam rayuan terakhir kes Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan liwat dan hukuman lima tahun penjara masih samar-samar tentang bilakah Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan penghakimannya.

Ketika dihubungi, N. Surendran, yang merupakan sebahagian daripada pasukan undang-undang Anwar berkata, "Saya tidak tahu (bila keputusan penghakiman). Mahkamah tidak memberitahu apa-apa kepada kami."

"Kami tidak menerima apa-apa notis daripada mahkamah," kata Latheefa Koya, seorang lagi ahli pasukan undang-undang ketua pembangkang.

Selain Latheefa dan Surendran, pasukan undang-undang ahli Parlimen Permatang Pauh ini,  terdiri daripada Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, Gobind Singh Deo, R. Sivarasa, J. Leela, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Ia diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Ketua pasukan pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga berkata beliau masih belum dimaklumkan oleh Mahkamah Persekutuan tentang bila keputusan itu akan siap.

"Saya tidak tahu. Mungkin bulan ini, boleh jadi juga bulan depan. Saya tidak boleh menyatakan bila keputusan itu akan siap," kata Shafee, yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Jika Anwar didapati bersalah, beliau akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakan jika dia dihukum penjara lebih dari satu tahun, atau didenda lebih daripada RM2,000.

Dalam rayuan itu, Anwar, 67, memohon mahkamah tertinggi untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas.

Pendengaran berjalan selama lapan hari dari 28 Oktober hingga 7 November 2014.

Mahkamah Rayuan mendapati pemimpin PKR itu bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan ymembawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel Lain