suria

Demam Di Madinah, Sihat Di Makkah

Tanah Perkuburan Baqi terletak berdekatan dengan Masjid Nabawi (kubah hijau).

ASSALAMUALAIKUM. Rabiul Awal mengingatkan kita kepada keputeraan junjungan mulia, Nabi Muhammad S.A.W yang dilahirkan di Makkah dan wafat di Madinah.

Siapa yang tidak mahu meninggal dunia di kota suci, lebih-lebih lagi Madinah kerana mereka yang menghembuskan nafas terakhir di Madinah akan disemadikan di tanah perkuburan Baqi, berhampiran Masjid Nabawi.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang mampu untuk mati di Madinah hendaklah dilakukannya, sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada mereka yang mati di Madinah.” Riwayat Ahmad dan Tirmizi.

Madinah, kota bercahaya menjanjikan ketenangan hakiki sejurus berada di sana. Perasaan itu tentu dapat dirasai oleh setiap tetamu Allah ketika menziarahi Madinah yang bersemadi jasad Rasulullah, sahabat, isteri-isteri Baginda Rasul dan tempat bersejarah.

Kelebihan mati di Madinah mengimbau kenangan saya terhadap dua jemaah yang pernah bersama-sama saya ketika menunaikan umrah pada 2009 dan 2010. Mereka bukan calang-calang orang, seorang ustazah dan seorang imam berusia dalam lingkungan 70-an. Saya begitu menghormati kedua-duanya dan memandang mereka seperti ibu bapa saya.

Ustazah dari utara Kuala Lumpur itu menunaikan umrah bersama dua anak lelaki dan suami. Tentu sekali tidak menjadi masalah kerana anak lelaki beliau kelihatan sihat dan berusia dalam lingkungan 40-an.

Namun, ustazah duduk satu bilik dengan saya dan dua lagi jemaah wanita lain. Seorang dari Johor Baharu dan seorang lagi jiran akrab yang juga anak murid ustazah berkenaan. Alhamdulillah, kami cepat menyesuaikan diri dan saling bekerjasama sepanjang menginap bersama-sama di Hotel Safir Al-Saha di Madinah dan Safoa Taamiz di Makkah.

Jemaah umrah sentiasa tidak akan melepaskan peluang beribadah sekerap mungkin di Masjid Nabawi, Madinah.

Saya paling muda dalam kumpulan itu dan bertindak sebagai petugas kepada agensi pelancongan yang membawa jemaah umrah terbabit.

Di Kuala Lumpur saya lihat wajah ustazah penuh ceria ketika anak menantu dan cucu menghantar beliau ke lapangan terbang.

Namun, sejurus tiba di Madinah, beliau nampak lesu dan tidak bermaya. Saya sekadar memerhati sahaja pada mulanya. Ustazah gagahkan diri ke Masjid Nabawi bersama-sama kami tetapi pulang sahaja ke kamar hotel, wajahnya pucat dan tubuhnya lemah.

“Kenapa ustazah? Tak sihat ye? Ubat ada?” soal saya yang mula risau melihat keadaan ustazah.

“Tak larat rasanya. Ubat ada. Nanti saya makan,” balasnya lesu.

Anak muridnya yang saya panggil kakak membongkar beg ustazah mencari ubat-ubatan beliau.

Sejurus itu, ustazah tersandar di atas katil dan makan ubat diberikan setelah mengalas perut dengan sekeping roti.

Esoknya, ziarah luar ke masjid Quba, masjid Qiblatain, Bukit Uhud, makam syuhada dan ladang tamar turut disertai ustazah namun sekembalinya ke hotel, beliau tambah lesu dan pucat.

“Ana, boleh tolong jaga ustazah petang ni? Kakak nak pergi solat Asar berjemaah di masjid Nabawi,” pinta anak murid ustazah.

“InsyaAllah. Ana jagakan,” balas saya yang kian bimbang.

Ustazah menggigil kesejukan. Demam. Tubuhnya berbungkus rapi dengan selimut dan ‘comforter’ serba putih. Umpama sekujur jenazah. Saya menasihatkan beliau supaya makan dan berdoa agar sihat kerana akan berangkat ke Makkah pada esok petang.

Beliau hanya diam. Setelah menunaikan solat Asar di dalam bilik hotel saya memohon agar Allah memberi kekuatan kepada ustazah bagi menyempurnakan umrah.

Hari berangkat ke Makkah tiba, ustazah masih kelihatan lesu tetapi demamnya sudah kebah. Alhamdulillah. Beliau duduk di atas kerusi roda dan ditolak oleh anaknya sebelum menaiki bas yang sedia menunggu di Jalan Ibrahim Khalil pada pukul 3 petang.

Dengan izin Yang Esa, ustazah mampu menyempurnakan umrah bersama-sama kami. Tiada lagi demam. Tiada lagi gigil. Tiada lagi tubuh lesu tidak bermaya. Menakjubkan! Semua itu kuasa Allah. Bisik hati kecil saya tatkala melihat ustazah sejurus bertahlul di Bukit Marwah.

Apa pula cerita imam dari Selangor? Imam berusia 72 tahun bertubuh kurus dan pendiam itu begitu mengingatkan saya pada bapa di Kuala Lumpur.

Hari pertama di Madinah, imam mula demam dan tidak larat. Beliau tidak selera makan dan turut menimbulkan kebimbangan isteri tersayang. Jemaah lelaki juga prihatin terhadap tahap kesihatan imam itu.

“Hajah, imam tidak mahu turun dari bilik. Isteri dia belum pulang dari masjid. Puas saya pujuk tapi dia tak mahu makan. Mungkin hajah boleh bantu,” ujar rakan sebilik imam sejurus melihat saya di dewan makan selepas pulang dari menunaikan solat Subuh.

Saya bergegas naik ke bilik imam. Apabila tiba di koridor hotel, saya lihat imam tersandar di sofa yang ditempatkan di koridor depan bilik Hotel Manazeli.

“Imam kita turun makan ye. Imam mesti makan, nanti badan kuat boleh beribadat,” saya memujuk penuh harapan.

“Baiklah, terima kasih hajah,” balas imam ringkas.

Saya memegang lengan imam. Bimbang dia terjatuh kerana tubuhnya terketar-ketar dan begitu lemah. Beliau berjubah coklat muda berlengan panjang dan berkopiah putih. Tiba di dewan makan yang penuh sesak dengan jemaah lain, saya disapa oleh rakan sebilik imam menyuruh imam makan bersama-samanya.

Saya mengambil nasi goreng, roti dan segelas minuman panas untuk imam. Ketika mengupas telur rebus untuk diletakkan di atas pinggan imam, muncul isteri imam dan rakan sebiliknya di dewan makan.

Beliau terasa bersalah kerana lewat tiba di hotel dan mengucapkan terima kasih kepada saya kerana membawa suaminya turun makan.

Hotel yang dekat dengan Masjid Nabawi memudahkan jemaah umrah untuk menunaikan ibadat ketika di Madinah.

Hari kedua keadaan imam semakin uzur. Beliau hanya berkurung di dalam bilik dan tidak mahu makan sehingga menyebabkan isterinya memanggil saya ke bilik. Terpancar kerisauan pada wajah si isteri dan seakan-akan pasrah dengan keadaan suami yang semakin tidak bermaya.

“Hajah, tolonglah kakak pujuk imam tak nak makan,” ujar isteri imam sambil memeluk saya sejurus melihat saya muncul di dalam bilik hotel.

“Imam mesti makan. Kalau tak makan, badan tak kuat nanti. Imam makan ye. Tak banyak, sikit pun jadilah,” rayu saya.

Sejurus itu, imam yang terbaring lesu berselimut seluruh tubuh bangun perlahan-lahan bersandar pada bantal sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Isterinya menyuap nasi ke mulut imam sedikit demi sedikit. Namun, imam tidak menghabiskannya.

Kami pun faham kerana demam beliau kurang selera. Saya memohon diri untuk beredar dan meninggalkan imam dan isterinya.

Keadaan imam agak teruk. Beliau tidak mampu berziarah bersama-sama kami dan tinggal sendirian di dalam bilik. Semua jemaah mula risau kerana pada esoknya kami berangkat ke Makkah.

Saya turut ditanya oleh jemaah lelaki apakah perancangan saya terhadap imam.

Saya faham maksud jemaah itu lantas berkata: “Pelan A saya membawa imam ke Makkah walaupun beliau sakit dan pelan B saya akan menguruskan jenazah imam jika beliau meninggal dunia di Madinah."

Jemaah itu mengangguk. Namun, ajal dan maut ditentukan oleh Allah SWT. Imam turut bersama-sama kami menyempurnakan umrah dan pada hari kedua di Makkah, imam kembali sihat, sebagaimana saya lihat beliau kali pertama di tanah air. Alhamdulillah.

Merasakan ada sesuatu yang tersirat hinggakan ustazah dan imam itu hanya sakit ketika di Madinah dan sihat ketika menjejakkan kaki di Makkah, saya terus bertanyakan beberapa jemaah yang rapat dengan mereka.


Tanah lapang yang juga tapak perkhuburan Baqi di Madinah.

Daripada anak murid ustazah dan rakan karib imam, saya mendapat tahu bahawa mereka sebenarnya menyimpan hasrat dan impian untuk menghembuskan nafas terakhir di Madinah.

Namun, ajal mereka belum tiba. Begitulah kebesaranNya, kita hanya mampu merancang Allah jua yang menentukan segala-galanya.

Bertitik tolak daripada kisah ustazah dan imam, saya sering mengingatkan diri sendiri dan berpesan kepada jemaah agar memohon dikurniakan kesihatan yang baik di Tanah Suci untuk memastikan kelancaran ibadat walaupun kita boleh berdoa kepada Allah agar dimatikan di Madinah sepertimana doa Saidina Umar al-Khattab r.a.

demam, wafat, Baqi

Artikel Lain