suria

Bulan Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir Pada Masa Depan

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata satu kempen Bulan Kesiapsiagaan dirancang diadakan di kawasan berisiko bagi menghadapi bencana banjir pada masa depan.

Beliau berkata kempen itu yang dijangka diadakan pada September atau Oktober setiap tahun bertujuan menyediakan masyarakat di setiap peringkat sekiranya berlaku bencana banjir di kawasan masing-masing.

"Persiapan menghadapi bencana banjir ini perlu bermula di peringkat bawah ... mangsa-mangsa banjir ini memerlukan bantuan makanan, pakaian, perlukan helikopter untuk berpindah tetapi di mana bantuan ini hendak dihantar, di mana helikopter ini hendak mendarat?

"Semua ini perlu ditentukan pada awal lagi di peringkat individu, keluarga, daerah dan negeri," kata Ahmad Shabery yang menjadi jemputan program 'Landskap: Banjir' terbitan RTM malam Rabu.

Beliau berkata kesiapsiagaan di peringkat lokaliti memerlukan simulasi menghadapi bencana sehingga ke situasi terburuk bagi membolehkan orang ramai mengetahui tindakan yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata pihaknya juga meminta Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) membangunkan portal maklumat mengenai pusat pemindahan dan pengumpulan bekalan bantuan banjir bagi memudahkan sukarelawan dan badan bukan kerajaan menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana itu.

"Saya puji semangat rakyat Malaysia yang sanggup ke kawasan banjir untuk membantu mangsa tetapi cerita yang saya dengar, apabila mereka sampai ke kawasan berkenaan, mereka tidak tahu nak letak (barangan bantuan) di mana, nak diserahkan kepada siapa," katanya.

Dalam rancangan selama sejam itu, Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman turut berkongsi langkah kesiapsiagaan di Kemaman yang disifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai mencapai tahap yang begitu tinggi.

Menteri itu berkata 69 pusat pemindahan dengan kapasiti 40,000 mangsa telah dipersiapkan lebih awal bagi menghadapi senario banjir terburuk pada musim tengkujuh.

Katanya tiga kawasan pendaratan helikopter selain depoh penyimpanan makanan dan keperluan harian diwujudkan bagi memudahkan bantuan kepada mangsa banjir di daerah itu.

"Ketika banjir melanda bukan masa untuk menghantar bekalan kerana laluan mungkin terputus. Sebelum berlakunya banjir sepatutnya bekalan-bekalan ini telah berada di pusat pemindahan," katanya.

Artikel Lain