suria

Kempen Derma Darah Untuk Mangsa Banjir Melebihi Sasaran

PRIHATIN… Masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama sama-sama menderma darah di program derma darah untuk mangsa banjir 'East Coast Relief Blood Donation Drive' bagi menangani masalah kekurangan bekalan darah di kawasan terjejas banjir di Kuala Lumpur, Rabu. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kempen derma darah untuk mengisi Tabung Bekalan Darah Pusat Darah Negara (PDN) bagi keperluan semasa negeri-negeri terlibat banjir mendapat sambutan menggalakkan dan melebihi sasaran. 

Ketua Bahagian Perolehan Darah PDN Dr Norasrina Ishak berkata pihaknya menerima 600 unit darah yang didermakan orang ramai setakat 7 malam Rabu, yang melebihi sasaran 500 unit.

Kempen anjuran bersama Malaysian Resources Corporation Berhad, Temple of Fine Arts, Klinik Derma Sivasanta, Sri Satya Council dan Yayasan YAKIN Kerajaan itu mendapat sokongan PDN serta Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat), berlangsung di ruang legar kompleks beli-belah NU Sentral di sini dari 10 pagi hingga 9 malam Rabu.

Dr Norasrina turut menegaskan PDN memerlukan semua jenis darah terutamanya jenis O.

"Darah jenis O sesuai dengan semua jenis darah lain, dan hari ini jenis darah O banyak diperoleh. Namun begitu kumpulan darah lain juga sama penting dan amat diperlukan" katanya kepada Bernama.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Korporat MySihat Mohd Zaki Abdul Rahim berkata pihaknya amat berbangga dengan keprihatinan orang ramai yang berbilang kaum terhadap kempen itu.

"Orang ramai tidak putus-putus datang untuk menderma darah hari ini sehingga tempat duduk untuk menunggu giliran terpaksa ditambah, meskipun hari ini hari bekerja namun ramai yang sudi meluangkan masa," katanya.

Wakil dari Temple Of Fine Arts, S. Palani Vel yang menderma darah jenis A, berkata kempen berkenaan diadakan sebagai inisiatif membantu PDN mengumpul bekalan darah yang semakin berkurangan.

"Sebelum ini, kami (NGO) bergabung membantu mangsa banjir di seluruh negara dengan mengumpul barangan keperluan untuk diberi kepada mereka (mangsa banjir). Sekarang saya rasa bantuan tersebut sudah berlebihan.

"Timbul kesedaran kami bahawa selepas banjir, pasti banyak masalah penyakit akan timbul. Jadi, kami berbincang dengan PDN untuk mengadakan kempen derma darah ini dan pihak PDN menyambut baik cadangan kami," katanya.

Seorang atlet paralimpik, Rafidah Mohamad Shahir, 36, yang mengalami kecacatan fizikal di bahagian tangan kanan, sanggup datang dari tempat kerjanya di Jalan Klang Lama semata-mata mahu menderma darah.

"Sebelum ini saya memang nak derma darah tetapi tiada kesempatan dan tak berani nak datang sendirian ke mana-mana kempen yang diadakan. Namun atas ajakan rakan-rakan, saya terus ambil peluang ini.

"Pada masa yang sama, saya ingin membantu mangsa-mangsa dan rakyat Malaysia yang memerlukan darah," kata atlet berdarah jenis A+ itu.

Rafidah yang mengharumkan nama negara dengan memenangi dua pingat emas dalam acara boling padang kategori perseorangan dan beregu pada Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan pada Oktober lepas, sebelum ini menjadi sukarelawan mewakili Majlis Sukan Negara ke Kemaman, Terengganu dalam misi bantuan bencana.

Bagi Shafirah Harun, 21, pula niatnya untuk mendermakan darah tercapai apabila kempen menderma darah tersebut diadakan berhampiran tempat kerjanya di sini.

"Kempen derma darah ini sangat bagus diadakan di pusat beli-belah seperti di sini (Nu Sentral) kerana orang yang datang ke sini dapat meluangkan sedikit masa untuk menderma. Malah saya yang bekerja di sini turut berkesempatan menderma darah dan majikan saya juga tidak menghalang saya dan rakan-rakan lain untuk seketika," katanya.
derma darah, Dr Norasrina Ishak, PDN