Biro Bantuan Umno Aplikasi Kaedah Bantu Mangsa Banjir Di Perak - Semasa | mStar

Biro Bantuan Umno Aplikasi Kaedah Bantu Mangsa Banjir Di Perak

Abdul Azeez (dua dari kanan) menyampaikan barangan untuk mangsa banjir kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tiga dari kanan).

IPOH: Biro Kebajikan Umno akan mengaplikasi kaedah contoh penyaluran bantuan banjir yang dilaksanakan di Perak, di negeri-negeri lain yang terjejas banjir, kata Pengerusi Biro Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata, kaedah itu sangat baik kerana Biro Kebajikan Umno hanya akan memperoleh angka sebenar keluarga yang layak menerima bantuan daripada Pejabat Menteri Besar.

Kaedah itu akan dapat mengelak mereka yang tidak terjejas banjir mengambil kesempatan untuk menerima bantuan, katanya selepas menyerahkan bantuan keperluan asas seperti tilam, bantal, dapur gas dan tong gas untuk mangsa banjir yang terjejas di Perak di Bangunan Umno negeri di sini, Rabu.

"Bekalan bantuan ini datangnya daripada Umno pusat, sememangnya itu patut berlaku, (yang mana) kita beri bantuan ini kepada pengerusi perhubungan negeri.

"Macam di sini (Perak) saya dapat laporan daripada MB (menteri besar) sebanyak 3,083 isi rumah, tetapi biro kebajikan beri 3,500 kerana saya difahamkan masih ada yang belum mendaftar," katanya.

Abdul Azeez berharap kaedah ini boleh diaplikasi di negeri-negeri lain kerana banjir yang melanda negara kali ini begitu dahsyat.

"Kita boleh berhubungan dengan pengerusi perhubungan negeri untuk dapat angka yang benar dan akan serahkan (bantuan) kepada pengerusi perhubungan negeri iaitu MB di setiap negeri. Ini kaedah yang betul supaya tidak timbul masalah," katanya.

Bagi bantuan pasca banjir, Abdul Azeez berkata Biro Kebajikan Umno akan membekalkan pelbagai peralatan antaranya pam penyembur air untuk Pemuda Umno, pasukan badan bukan kerajaan, belia dan Sukarelawan 1Mindef untuk melakukan kerja pembersihan rumah yang terjejas banjir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Manchester United pecat Mourinho!

Jenazah Adib selamat dikebumikan