suria

KPDNKK Tarik Lesen Peruncit Jual Bahan Api Harga Melampau

KUALA KRAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menarik balik serta-merta lesen peruncit yang didapati menjual bahan api dengan harga yang tidak munasabah. 

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pihaknya menerima aduan daripada pengguna khususnya di luar bandar dan kawasan dilanda banjir ada peruncit yang menjual minyak petrol dan diesel sehingga RM5.20 seliter.

"Tetapi pengguna perlu membuat aduan dan memberi maklumat lengkap berhubung aduan itu, beri nama kedai dan lokasi bagi memudahkan pihak kami mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kesedaran Perlindungan Keselamatan Pengguna Mangsa Banjir di Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Kuala Krau, dekat sini Rabu.

Turut hadir, Anggota Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Ahmad Bashah berkata peruncit sepatutnya tidak cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga bahan api sesuka hati memandangkan harga bahan api kini telah turun dan negara juga baru dilanda musibah banjir. 

"KPDNKK juga akan berbincang bersama para pemborong, penjual dan peruncit bagi mencari mekanisme terbaik untuk menurunkan harga barang di pasaran. Ini sebahagian usaha kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat yang dilanda bencana banjir baru-baru ini," katanya.

Ahmad Bashah pada majlis itu turut menyampaikan barangan keperluan dan peralatan pembersihan serta persekolahan sumbangan KPDNKK dan pelbagai agensi swasta kepada mangsa banjir di Parlimen Kuala Krau.

Artikel Lain