suria

Jurutera Disabit Hina Almarhum Sultan Kekal Didenda RM50,000

PUTRAJAYA: Jurutera yang disabitkan kesalahan memuat naik komen menghina Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah di internet, terlepas daripada hukuman penjara selama setahun selepas hukuman itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada Rabu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, bagaimanapun mengekalkan sabitan Chan Hong Keong dan juga mengekalkan hukuman denda maksimum RM50,000 terhadapnya yang diputuskan Mahkamah Sesyen di Butterworth.

Chan, 32, membayar denda itu. Beliau diikat jamin RM40,000, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Panel hakim itu yang turut dianggotai Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim menolak rayuan Chan terhadap sabitannya tetapi membenarkan rayuannya untuk mengetepikan hukuman penjara.

Dalam keputusannya, Tengku Maimun berkata Chan merupakan individu yang telah memuat naik komen menghina itu dan mahkamah berpuas hati bahawa sabitannya adalah kukuh.

Beliau berkata pihak pendakwaan dan pembelaan telah diberi peluang untuk membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi dan dengan itu tidak wujud ketidakadilan dari segi prosedur.

Tengku Maimun berkata walaupun kesalahan dilakukan Chan adalah serius, namun mahkamah berpandangan bahawa hukuman penjara patut diketepikan, berdasarkan trend kes serupa iaitu orang kena tuduh hanya didenda.

Beliau berkata denda RM50,000 adalah hukuman yang memadai dan wajar.

Pada 1 Jun, 2012, Mahkamah Sesyen mendapati Chan bersalah terhadap pertuduhan memuat naik komen yang menghina Almarhum Sultan Azlan Shah di laman web http://books.dreambooks.com/duli/duli.html dan telah dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM50,000.

Beliau didapati bersalah melakukan kesalahan itu di rumahnya di Permatang Pauh, Seberang Prai pada 12.05 pagi, 13 Februari, 2009.

Pada 14 Februari tahun lepas, Chan gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Chan diwakili peguam Ram Karpal Singh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali.

Artikel Lain