suria

Kerajaan Persekutuan, Negeri Bentuk Jawatankuasa Pasca Banjir

Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat, kiri) menyertai gotong-royong pembersihan Sekolah Kebangsaan Lati di Pasir Mas, Kelantan. Muhyiddin mengadakan lawatan sehari bagi meninjau keadaan pasca banjir di daerah tersebut.

KOTA BHARU: Akibat kerugian infrastruktur awam bernilai lebih RM932.4 juta dan seramai 2,640 orang telah dipindahkan kerana banjir besar baru-baru ini, satu jawatankuasa bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ditubuhkan bagi membantu mangsa banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir yang akan diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob akan menyelia pembinaan semula kemudahan awam dan rumah-rumah milik mangsa banjir yang rosak.

"Jawatankuasa ini akan memantau dan melaksanakan langkah-langkah yang perlu diambil untuk membantu membina semula Kelantan terutama mangsa banjir di dua daerah iaitu Kuala Krai dan Gua Musang.

"Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk mencari tempat tinggal sementara bagi mereka yang kehilangan rumah...menyewa secara percuma dalam tempoh tiga bulan akan datang.

"Kerajaan akan cuba untuk mencari rumah kosong milik kerajaan atau menyewa lot kedai bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir sehingga tempoh tiga bulan dan kami akan cuba untuk meletakkan sebahagian daripada mangsa banjir di khemah-khemah sementara di atas harta kerajaan negeri sehingga kita mencari penyelesaian kekal kepada masalah perumahan.

"Selain itu kerajaan juga akan menimbang untuk memberi antara RM500 dan RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat banjir pada masa akan datang tertakluk kepada kelulusan Perdana Menteri dan Kabinet," kata Muhyiddin kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa banjir di sini pada Selasa yang turut dihadiri oleh Ahmad.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain