suria

Bapa Mualaf Diarah Bawa Anak Ke Mahkamah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Selasa memerintahkan seorang bapa mualaf, Izwan Abdullah untuk membawa anaknya berusia tujuh tahun yang menjadi perebutan hak penjagaan, ke mahkamah pada 14 Januari atau menghadapi kemungkinan didakwa kerana menghina mahkamah.

Barisan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menetapkan tarikh itu untuk mendengar permohonan Izwan.

Dia sebelum ini memohon kebenaran merayu terhadap perintah berhubung hak penjagaan dan perintah mendapatkan kembali dan permohonan Ketua Polis Negara (KPN) dan Peguam Negara (AG) bagi kebenaran untuk merayu terhadap perintah penyerahan.

Beliau menetapkan tarikh itu bagi mendengar permohonan berkenaan tetapi menetapkan syarat bahawa Izwan, yang sebelum ini menganuti agama Hindu dengan nama N. Viran, mesti membawa anaknya Mithran ke mahkamah dan jika gagal berbuat demikian akan berdepan kemungkinan didakwa kerana menghina mahkamah dan permohonannya tidak dapat didengar oleh mahkamah.

Izwan memohon mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Disember tahun lepas yang menolak rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Seremban yang memberikan hak penjagaan dua orang anaknya kepada bekas isterinya S. Deepa.

Dia juga memohon kebenaran untuk merayu terhadap perintah mendapatkan semula anak yang diperoleh oleh Deepa daripada Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pihak polis untuk mengesan Mithran yang dalam jagaan Izwan.

Pada 7 April, tahun lepas, Mahkamah tinggi menyerahkan hak penjagaan dua orang anak pasangan itu, Sharmila, 10, dan Mithran kepada ibu mereka.

Mahkamah juga memberi hak kepada Viran untuk melawat anaknya setiap minggu dan juga membenarkan permohonan Deepa bagi membubarkan perkahwinan sivil dengan Viran kerana dia (Izwan) telah memeluk Islam.

Pada 9 April, tahun lepas, Izwan dilaporkan telah melarikan Mithran.

Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003 mengikut upacara agama Hindu.

Izwan, yang memeluk Islam pada 2011, menukarkan agama anaknya tanpa pengetahuan isterinya pada tahun yang sama dan kemudian memperoleh perintah daripada Mahkamah Syariah Seremban bagi hak penjagaan kanak-kanak itu.

Terdahulu dalam prosiding mahkamah, peguam Fahri Azzat yang mewakili Deepa  memberitahu mahkamah bahawa Izwan menghadapi prima facie menghina mahkamah kerana dia telah mengabaikan perintah Mahkamah Tinggi untuk mengembalikan kanak-kanak itu tetapi berkata beliau akan memberi satu lagi peluang kepada Izwan untuk membawa kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, peguam Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Izwan berhujah bahawa anak guamnya tidak menghina mahkamah kerana Mahkamah Rayuan telah memberikan penangguhan terhadap pelaksanaan perintah mendapatkan kembali kanak-kanak itu sementara menunggu dia memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Beliau memberi jaminan kepada mahkamah bahawa beliau akan menasihati Izwan hadir ke mahkamah bersama-samaanaknya pada tarikh itu.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan mewakili Ketua Polis Negara dan Peguam Negara.

Bapa Mualaf, Izwan Abdullah, N. Viran

Artikel Lain