suria

Rayuan Keputusan Transgender 27 Januari

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini menetapkan 27 Januari untuk mendengar permohonan kerajaan Negeri Sembilan dan empat yang lain bagi kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah rayuan berhubung transgender lelaki Islam mengenakan pakaian perempuan.

Mahkamah Rayuan itu mengisytiharkan sebagai tidak sah enakmen Syariah negeri yang memperuntukkan hukuman terhadap transgender Islam yang mengenakan pakaian perempuan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Khainur Aleeza Ismail menetapkan tarikh pendengaran itu dalam kamar bila perkara itu dikemukakan untuk pengurusan kes pada Selasa.

Penasihat Undang-undang negeri, Negeri Sembilan Iskandar Ali Dewa berkata Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan akan memohon untuk mencelah dalam perkara itu.

Beliau berkata timbalan pendaftar telah mengarahkan majlis-majlis itu memfail permohonan mereka dalam tempoh seminggu.

Peguam Fakrul Azman Abu Hassan yang mewakili Negeri Sembilan dan Mais berkata majlis itu mempunyai kepentingan dalam perkara tersebut dan tugasnya menasihat Sultan dan melindungi integriti undang-undang Syariah negeri.

Sementara itu, Iskandar mengesahkan bahawa peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan bertindak sebagai ketua peguam mewakili Kerajaan Negeri Sembilan di Mahkamah Persekutuan.

Fakrul berkata beliau dan peguam Datuk Sulaiman Abdullah akan mewakili majlis-majlis berkenaan.

Pada 7 November tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dibuat oleh tiga juru mekap pengantin Islam, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30 dan mengisytiharkan seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri (Negeri Sembilan) 1992 sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Panel tiga hakim dipengerusi oleh Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus berpendapat peruntukan itu menyisihkan lelaki Islam yang mengalami masalah perubatan dipanggil kecelaruan identiti gender (GID).

Hakim Hishamudin berkata seksyen 66 yang memperuntukkan hukuman terhadap lelaki Islam yang berpakaian atau tampil sebagai wanita dalam khalayak ramai, tidak memberi pengecualian kepada penghidap GID tetapi telah tidak mempedulikan mereka dan secara tidak adil telah mengenakan kuatkuasa undang-unang ke atas  mereka.

Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman tiga orang itu supaya seksyen 66 berkenaan diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan.

Dalam permohonan itu, Muhamad Juzaili, Syukor dan Wan Fairol menamakan kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya; ketua penguatkuasaan Syariah Negeri Sembilan dan ketua pendakwa Syarie Negeri Sembilan sebagai respondan.

Mewakili tiga orang itu semasa pengurusan kes hari ini ialah peguam Aston Paiva.

Transgender

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain